L.O.V.A

My photo
ampang, Malaysia
liyxa... aku seorang yg kuat membebel, (bak kate bf aku),seorang yang kelakar, n ske menghappy kan org. x suke pada orang yg hipokrit..paling aku pantang, adakala nye aku panas baran..orang yg kenal aku lame tahu la baran aku mcm mane..x ske benda yg complicated..manja, n ske dimanja kan...ske pegi vacation tmpt yg aku ske pegi of coz la pntai...tenang jiwa aku dow!n mcm2 la mengenai aku nie..mls nak cite lebey2...hhuhu
Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Thursday, December 16, 2010

Cinta, Suka, Kasih Sayang seperti di dalam al-Qur'an

Cinta, Suka, Kasih Sayang
seperti di dalam al-Qur'an

Allah dicinta dan Dia mencintai. Cinta-Nya akan menyebabkan kesalahan-kesalahan orang-orang yang mencintai-Nya diampuni. Dia dicinta dengan mengikuti wahyu yang diwahyukan melalui Nabi-Nya. Firman Allah,

"Katakanlah, 'Jika kamu mencintai Allah, ikutlah aku, dan Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu atas kesalahan-kesalahan kamu; Allah Pengampun, Pengasih.'" (3:31)

Cinta pada-Nya mengatasi segala cinta lain, termasuk cinta pada manusia yang dijadikan rakan-rakan bagi Allah, atau pemberi petunjuk, seperti Nabi, Rasul, Imam, Tok Guru, dan sebagainya. Menyamakan cinta pada Allah dengan mereka selain daripada-Nya adalah suatu kezaliman. Firman Tuhan,

"Tetapi ada manusia yang mengambil untuk mereka rakan-rakan, selain daripada Allah, dengan mencintainya sebagaimana Allah dicintai, tetapi orang-orang yang percaya, mencintai Allah dengan lebih cinta. Sekiranya orang-orang yang membuat kezaliman dapat melihat, ketika mereka melihat azab, bahawa kekuatan kesemuanya adalah kepunyaan Allah, dan bahawa Allah amat keras dalam azab." (2:165)

Kerana mencintai-Nya amalan-amalan kebajikan seperti memberi makan kepada orang-orang miskin, anak yatim dan tawanan perang dilakukan. Firman Tuhan:

"Mereka memberi makan, kerana mencintai-Nya, kepada orang miskin, dan anak yatim, dan tawanan," (76:8)

Mereka yang berbuat demikian berkata, “Kami memberi makan kepada kamu hanya kerana mengharapkan Wajah Allah; kami tidak menghendaki balasan daripada kamu, dan tidak juga terima kasih," (76:9).

Kaum yang Dia mencintai adalah yang mencintai-Nya, rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang tidak percaya, berjuang di jalan Allah dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela. Maksud firman Allah:

"maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia mencintai, dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang yang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela." (5:54)

Cinta manusia tidak terhad pada Tuhan sahaja. Dia selanjutnya mewujudkan cinta dan pengasihan terhadap teman-teman hidup manusia supaya mereka dapat berehat pada mereka. Ayat yang menentukannya berbunyi,

"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah bahawa Dia menciptakan untuk kamu, daripada diri-diri kamu sendiri, teman-teman hidup, supaya kamu berehat pada mereka, dan Dia mengadakan antara kamu, cinta dan pengasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan." (30:21)

Perasaan cinta yang diwujudkan Allah berterusan hingga hari akhirat. Ayat berkenaan berbunyi:

"Dan Kami membuatkan mereka anak-anak dara yang tidak tercemar,
Penuh cinta, sebaya," (56:36-37)

Cinta di sana mungkin berlainan sedikit kerana tanpa sebarang kesedihan. Di dunia, terdapat cinta yang membawa kesusahan. Al-Qur'an memberi contoh sebuah cinta tidak dibalas, iaitu cinta isteri gabenor pada Nabi Yusuf. Ayat yang mengisahkannya berbunyi,

"Wanita-wanita tertentu di kota berkata, 'Isteri al-aziz (Gabenor) menggoda diri pemudanya yang menundukkan hatinya dengan cinta; kami melihat dia dalam kesesatan yang nyata.'" (12:30)

Akibat cinta tersebut Nabi Yusuf dipenjara, bertahun-tahun lamanya.

Keluarga

Cinta atau kasih sayang pada manusia turut diberi kepada sanak saudara. Ia adalah suatu permintaan, seperti disebut dalam firman bererti,

"Katakanlah, 'Aku tidak meminta kepada kamu upah untuk ini, melainkan kasih sayang untuk sanak saudara'" (42:23).

Kasih sayang disampaikan dengan adil. Tidak seperti yang diberi oleh bapa Nabi Yusuf dan saudaranya iaitu menimbulkan perasaan cemburu di kalangan saudara-saudaranya yang lain lalu baginda dibuang untuk dipisahkan daripada bapanya. Al-Qur'an menceritakan,

"Apabila mereka berkata, 'Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya lebih dicintai oleh bapa kita daripada kita, sedang kita sekumpulan. Sesungguhnya bapa kita adalah dalam kesesatan yang nyata.'" (12:8)

Cinta pada ahli keluarga yang rapat dan harta yang diperoleh memang wujud tapi tidak dibiarkan melebihi cinta pada Allah, rasul-Nya, dan berjuang di jalan-Nya, khuatir menjadi orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan). Perintah Tuhan,

"Katakanlah, 'Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak lelaki kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kerabat kamu, dan harta benda yang kamu memperoleh, dan perdagangan yang kamu takut akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sangat berpuas hati - jika ini lebih dicintai oleh kamu daripada Allah dan rasul-Nya, dan untuk berjuang di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan perintah-Nya; Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq.'" (9:24)

Sementara ahli keluarga yang lebih menyukai ketidakpercayaan daripada keimanan tidak diambil sebagai wali atau sahabat yang dipercayai, untuk tidak menjadi zalim. Demikian peringatan Tuhan berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengambil bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu untuk menjadi wali-wali kamu, jika mereka lebih menyukaiketidakpercayaan daripada keimanan; sesiapa antara kamu yang menjadikan mereka sahabat-sahabat, maka mereka itu, merekalah orang-orang yang zalim." (9:23)

Dan, ahli keluarga yang menentang Allah dan rasul-Nya tidak harus disayangi. Firman Tuhan,

"Kamu tidak mendapati sesuatu kaum yang mempercayai Allah dan Hari Akhir menyayangi sesiapa yang menentang Allah dan rasul-Nya, walaupun mereka bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau kerabat mereka." (58:22)

Walau betapa banyaknya cinta pada mereka, atau siapa jua, orang yang mencintai tidak dapat memberi petunjuk kepada mereka. Nabi pun sama, tidak dapat memberi petunjuk kepada orang-orang dicintainya. Maka orang-orang dicintai boleh jadi mereka yang tidak percaya atau kafir kepada Allah. Firman-Nya,

"Kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa yang kamu mencintai, tetapi Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia mengkehendaki, dan Dia sangat mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (28:56)

Mereka yang tidak disayangi, termasuk ahli keluarga, adalah kerana cinta pada keimanan yang diberi Allah. Cinta itu menjadikan seseorang benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), kefasiqan, dan keingkaran. Allah menjelaskan,

"Dan ketahuilah bahawa rasul Allah adalah di kalangan kamu. Jika dia mentaati kamu dalam kebanyakan urusan, kamu akan menderita; tetapi Allah menjadikancinta pada keimanan kepada kamu, menampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia menjadikan kamu benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itu, merekalah yang berfikiran waras." (49:7)

Cinta pada keimanan adalah kewarasan fikiran.

Dunia

Dalam kehidupan di dunia hawa nafsu dinampakkan indah bagi manusia. Lantas kecintaannya daripada kesenangan hidup di dunia menjadi keutamaan. Firman Allah,

"Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itulah kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik." (3:14)

Oleh kerana itu manusia hidup mencari harta. Setelah memperolehi, dan mencintainya, memberi pula kepada pihak-pihak yang harus menerima. Allah menjelaskan,

"Ia bukanlah ketaatan bahawa kamu memalingkan muka kamu ke Timur dan ke Barat, tetapi ketaatan adalah percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan malaikat-malaikat, dan Kitab-Kitab, dan Nabi-Nabi; dan memberikan harta, walaupun dicintainya,
kepada sanak saudara,
dan anak-anak yatim,
dan orang-orang miskin,
dan musafir,
dan orang-orang yang meminta-minta;
dan memerdekakan hamba,
dan melakukan solat, dan memberikan zakat, dan mereka yang menepati perjanjian mereka, apabila mereka membuat perjanjian, dan orang-orang yang sabar dalam kecelakaan, dan kesusahan, dan bencana. Mereka inilah orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan) dengan benar." (2:177)

Orang-orang yang hidup mewah tidak bersumpah untuk tidak memberi kepada sanak saudara, orang-orang miskin, dan orang-orang berhijrah di jalan Allah, atas sesuatu kesumbangan dan kemungkaran. Sebaliknya mereka harus memaafkan, dan mengampunkan, supaya Allah mengampuni mereka, iaitu suatu amat disukai manusia. Firman Allah,

"Janganlah orang-orang antara kamu yang mempunyai pemberian dan keluasan bersumpah untuk tidak memberi sanak saudara, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah; tetapi hendaklah mereka memaafkan dan mengampunkan. Tidakkah kamu menyukai bahawa Allah akan mengampuni kamu? Allah Pengampun, Pengasih." (24:22)

Sesungguhnya, harta benda dapat membuat seseorang mencapai tahap ketaatan kepada Allah, dengan menafkahkan (membelanjakan) harta yang dicintai. Dia menjelaskan,

"Kamu tidak akan mencapai ketaatan sehingga kamu menafkahkan daripada apa yang kamu mencintakan, dan apa sahaja yang kamu menafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (3:92)

Selanjutnya, cinta pada orang-orang berhijrah, dengan memberi tanpa takut menjadi papa, dan tanpa mengharapkan sesuatu, menjadikan orang-orang yang mencintai beruntung kerana dilindungi daripada kehalobaan jiwa sendiri. Firman Tuhan,

"Dan orang-orang yang telah bertempatkan di tempat tinggal, dan dalam keimanan, sebelum mereka, mencintai sesiapa yang berhijrah kepada mereka, dengan tidak mendapati di dalam dada mereka sebarang hajat (keinginan) terhadap apa yang mereka memberikan, dan lebih menyukai yang lain di atas diri mereka, walaupun kepapaan adalah bahagian mereka. Dan sesiapa yang dilindungi daripada kehalobaan jiwanya sendiri, mereka itu, merekalah orang-orang yang beruntung." (59:9)

Tidak haloba! Maka dunia dicari dan dicintai dengan tidak melampaui batas hingga melupakan hari akhirat. Ayat-ayat yang memberi peringatan tersebut berbunyi,

"Sesungguhnya mereka ini mencintai yang cepat (dunia), dan meninggalkan di belakang mereka satu hari yang berat." (76:27)

"Dan kamu mencintai harta dengan kecintaan yang berlebihan." (89:20)

"Sesungguhnya dia mencintai benda-benda yang baik dengan sangatnya." (100:8)

Nabi Sulaiman pun tidak terlepas daripada mencintai benda-benda baik sehingga hampir melupakan waktu untuk mengingati Allah. Ayat yang mengingatkan berbunyi,

"Dia (Sulaiman) berkata, 'Sesungguhnya aku mencintai kecintaan pada benda-benda yang baik lebih daripada mengingati Pemeliharaku sehingga matahari tersembunyi di belakang hijab (tabir).'" (38:32)

Suka

Bukan sahaja harta benda yang boleh membawa kerugian pada hari akhir malah dalam kehidupan di dunia terdapat lagi beberapa sifat buruk tetapi disukai oleh sesetengah pihak. Sifat-sifat tersebut jelas dinyatakan di dalam tiga ayat di bawah:

"Janganlah menyangka bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka mendatangkan, dan suka dipuji atas apa yang mereka tidak buat; janganlah kamu menyangka bahawa mereka aman daripada azab; dan bagi mereka, azab yang pedih." (3:188)

"Orang-orang yang menyukai bahawa kesumbangan disebarkan mengenai orang-orang yang percaya, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui." (24:19)

"Wahai orang-orang yang percaya, jauhilah kebanyakan sangkaan; sebahagian sangkaan adalah dosa. Dan janganlah mengintip, dan jangan juga mengumpatsatu sama lain; adakah salah seorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Kamu membencinya! Dan kamu takutilah Allah; sesungguhnya Allah Menerima Taubat, Pengasih." (49:12)

Azab pedih menanti orang-orang yang suka melakukan kejahatan-kejahatn tersebut.

Terdapat juga manusia salah membuat pilihan. Yang baik disangka buruk lalu dibenci, dan yang buruk disangka baik lalu disukai. Firman Allah,

"Dituliskan (ditetapkan) bagi kamu berperang, walaupun ia adalah kebencian bagi kamu, dan mungkin kamu membenci sesuatu yang lebih baik bagi kamu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu yang lebih buruk bagi kamu; Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui." (2:216)

Dan, ada tidak suka pada yang mereka sendiri tahu baik, iaitu orang-orang memberi nasihat, seperti kaum Nabi Salleh, lalu ditimpa gempa bumi. Peringatan Tuhan berbunyi,

"Maka dia (Salleh) berpaling daripada mereka, dan berkata, 'Wahai kaumku, aku telah menyampaikan kepada kamu Mesej Pemeliharaku, dan menasihati kamu, tetapi kamu tidak menyukai orang-orang yang memberi nasihat.'" (7:79)

Apa yang tidak disukai dengan sebenarnya ialah nasihat mengandungi Mesej Pemelihara mereka.

Terdapat pula orang-orang menyukai orang-orang lain, tetapi orang-orang itu tidak menyukai mereka. Orang-orang yang tidak disukai itu mempercayai semua kandungan Kitab. Al-Qur'an menjelaskan,

"Beginilah kamu ini; kamu menyukai mereka, dan mereka tidak menyukai kamu; kamu mempercayai Kitab, semuanya, dan apabila mereka berjumpa dengan kamu, mereka berkata, 'Kami percaya', tetapi apabila mereka menyendiri, mereka menggigit jari-jari mereka kerana marah pada kamu. Katakanlah, 'Matilah dalam kemarahan kamu; sesungguhnya Allah mengetahui apa yang di dalam dada.'" (3:119)

Namun, ada orang lebih suka memilih yang buruk, seperti kebutaan daripada petunjuk. Firman Tuhan,

"Bagi Tsamud, Kami memberi mereka petunjuk, tetapi mereka lebih menyukai kebutaan daripada petunjuk, maka halilintar daripada azab yang menghinakan mengambil mereka kerana apa yang mereka mengusahakan." (41:17)

Akhir sekali, terdapat orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat. Erti firman Tuhan,

"Itu adalah kerana mereka lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat, dan bahawa Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang tidak percaya." (16:107)

Mereka itu adalah orang-orang yang dadanya dilapangkan dalam ketidakpercayaan, maka bagi mereka kemurkaan daripada Allah, dan bagi mereka, azab yang besar (16:106).

Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang menyukai kehidupan dunia daripada akhirat. Jika mereka selanjutnya menghalangi jalan Allah dan menginginkannya menjadi bengkok maka mereka menjadi sesat dalam kesesatan yang jauh. Firman Tuhan,

"Orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat, dan menghalangi daripada jalan Allah, dan menginginkannya menjadi bengkok; mereka adalah dalam kesesatan yang jauh." (14:3)

Walaupun banyak sifat buruk disukai manusia tetapi ada juga yang baik disukainya - iaitu suka membersihkan diri mereka. Ayat di bawah menjelaskan:

"Masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama adalah lebih wajar untuk kamu berdiri di dalamnya; di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang sukamembersihkan diri mereka; dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka." (9:108)

Hidup di dunia umpama suatu perdagangan. Paling disukai dalam perdagangan ialah pertolongan daripada Allah, dan kemenangan. Apa dimaksudkan dengan perdagangan diterangkan di dalam ayat-ayat berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya, mahukah Aku menunjukkan kamu perdagangan yang akan menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?
Kamu mempercayai Allah dan rasul-Nya, dan berjuang di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Dia akan mengampuni kamu atas kesalahan-kesalahan kamu, dan memasukkan kamu ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Taman-Taman Adn; itulah kemenangan yang besar,
Dan yang lain yang kamu menyukai, pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat. Berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin! (61:10-13)

Kasih Sayang

Seperti telah dinyatakan terlebih dahulu bahawa kasih sayang sesama manusia adalah untuk sanak saudara (42:23). Akan tetapi jika mereka menjadi musuh Allah maka kasih sayang tidak diberi kepada mereka. Perintah Tuhan berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengambil musuh-Ku dan musuh kamu untuk wali (sahabat), dengan menyampaikan kasih sayang kepada mereka, walaupun mereka tidak percaya kepada yang benar yang datang kepada kamu, dengan mengusir rasul dan kamu kerana kamu mempercayai Allah, Pemelihara kamu. Jika kamu keluar untuk berjuang di jalan-Ku dan menginginkan kepuasan hati-Ku, dengan merahsiakan kasih sayang kepada mereka, dan Aku sangat mengetahui apa yang kamu menyembunyikan dan apa yang kamu menyiarkan; dan sesiapa antara kamu yang berbuat demikian itu, dia sesat daripada jalan yang betul." (60:1)

Kasih sayang sesama manusia tidak wujud apabila tidak bersama dalam perjuangan di jalan Allah. Iktibar diambil daripada ayat berbunyi:

"Tetapi jika pemberian daripada Allah menimpa kamu, tentu dia mengatakan seakan-akan tidak pernah ada kasih sayang antara kamu dan dia, 'Sekiranya aku berada bersama mereka, tentu aku mendapat kemenangan dengan kemenangan yang besar.'" (4:73)

Tanda kasih sayang sesama manusia di kehidupan dunia, turut terdapat pada berhala. Berhala adalah bukan sahaja berbentuk patung tetapi juga manusia, yang menjadi tempat dihalakan segala permintaan dan petunjuk. Berhala jenis manusia, kadang kala, disembah tanpa menyedarinya. Firman Tuhan,

"Dan berkata, 'Kamu mengambil untuk kamu hanyalah berhala-berhala, selain daripada Allah, sebagai tanda kasih sayang antara kamu dalam kehidupan dunia; kemudian pada Hari Kiamat, sebahagian kamu akan tidak percaya kepada sebahagian yang lain, dan kamu melaknatkan satu sama lain, dan tempat menginap kamu ialah Api, dan kamu tidak ada penolong-penolong.'" (29:25)

Apa dikatakan berlaku pada Hari Kiamat, iaitu pertengakaran dan laknat-melaknat antara satu sama lain, pasti berlaku.

Tidak dinafikan, orang-orang yang percaya kepada Kitab mempunyai musuh, daripada ahli keluarga mahupun dari luar. Sekiranya mereka berlembut seperti memberi tahu bahawa mereka akan meminta ampun untuk mereka kepada Allah, rasa bermusuhan mungkin akan hilang dan diganti dengan rasa kasih sayang. Firman Tuhan,

"Mudah-mudahan Allah membuatkan, antara kamu dan orang-orang antara mereka yang kamu bermusuhan, rasa kasih sayang. Allah berkuasa; Allah Pengampun, Pengasih." (60:7)

Dengan penganut agama lain, mereka paling dekat dalam kasih sayang dengan orang-orang yang percaya adalah orang-orang menggelar diri mereka Kristian. Ayat berikut menjelaskan,

"Sungguh, kamu mendapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang Yahudi, dan orang-orang yang mempersekutukan; dan sungguh kamu mendapati mereka yang paling dekat dalam kasih sayang terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang yang berkata, 'Kami adalah orang-orang Kristian'; itu adalah kerana sebahagian mereka adalah paderi-paderi dan rahib-rahib, dan mereka tidak menyombongkan diri." (5:82)

Allah Yang Penyayang sentiasa melontarkan kasih sayang. Kasih sayang daripada Allah tidak serupa dengan diberi oleh manusia. Satu contoh yang digambarkan-Nya terdapat dalam cerita Nabi Musa berbunyi,

"'Lemparkanlah dia ke dalam tabut (peti), dan lemparkanlah dia ke laut, dan biarkanlah laut melemparnya ke tebing. Seorang musuh-Ku dan musuhnya akan mengambilnya.' Dan Aku melemparkan kepada kamu kasih sayang daripada-Ku, dan supaya kamu dibentuk di bawah mata-Ku (pengawasan-Ku)" (20:39).

Hasil kasih sayang daripada Allah, musuh yang pada mula ingin membunuh, menjadi pembela pula.

Allah

Selain daripada itu, Allah berhak menyukai atau tidak menyukai hamba-hamba-Nya. Keputusan-Nya berdasarkan sebab-sebab tertentu. Lalu terjadilah golongan orang-orang yang disukai dan tidak disukai-Nya.

Orang-orang yang disukai-Nya ada tujuh golongan. Pertama, orang-orang berbuat baik - terdiri daripada mereka yang memberi nafkah, berperang di jalan-Nya, memaaf dan mengampunkan, percaya, bertakwa dan membuat kerja-kerja kebaikan. Firman-firman-Nya,

"Dan nafkahkanlah (belanjakanlah) di jalan Allah, dan janganlah melemparkan diri-diri kamu dengan tangan-tangan kamu sendiri ke dalam kebinasaan, tetapi berbuatbaiklah; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (2:195)

"Yang menafkahkan dalam kesenangan dan kesusahan, dan menahan kemarahan mereka, dan memaafkan manusia; dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik," (3:134)

"Dan Allah memberikan mereka ganjaran dunia, dan sebaik-baik ganjaran akhirat, dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik" (3:148).
Mereka adalah orang-orang yang berperang di jalan Allah. Ucapan mereka hanyalah, "Wahai Pemelihara kami, ampunilah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan apa yang membazir (berlebihan) dalam urusan kami, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang tidak percaya." (3:146-147)

"Maka kerana memecahkan perjanjian mereka (Bani Israil), Kami melaknatkan mereka, dan menjadikan hati mereka keras. Mereka mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan mereka melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan; dan kamu tidak akan berhenti melihat pengkhianatan daripada mereka, kecuali sedikit antara mereka. Namun begitu, maafkanlah mereka dan ampunkanlah; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (5:13)

"Tidaklah bersalah ke atas orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, mengenai apa yang mereka makan jika mereka bertakwa, dan percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan kemudian bertakwa, dan percaya, kemudian bertakwa, dan berbuat baik; Allah menyukai orang-orang yang berbuatbaik." (5:93)

Golongan kedua ialah orang-orang bertaubat, dan orang-orang yang membersihkan diri mereka. Ayat yang menjelaskan berbunyi,

"Mereka menanyai kamu mengenai haid. Katakanlah, 'Ia adalah gangguan; maka hendaklah kamu menjauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan janganlah mendekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka telah membersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah memerintahkan kamu.' Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat, dan Dia menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka." (2:222)

Sebuah lagi ayat dapat dikesan, tetapi menyebut hanya orang-orang yang membersihkan diri mereka sahaja, berbunyi,

"Janganlah berdiri di dalamnya selama-lamanya. Masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama adalah lebih wajar untuk kamu berdiri di dalamnya; di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka membersihkan diri mereka; dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka." (9:108)

Ketiga, golongan orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan). Tiga ayat yang menyebutnya adalah:

"Tidak, tetapi sesiapa yang menepati perjanjiannya, dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa." (3:76)

"Kecuali orang-orang yang menyekutukan yang dengan mereka kamu telah membuat perjanjian, kemudian mereka tidak mengurangkan kamu sedikit pun, dan tidak juga menyokong seseorang pun terhadap kamu. Dengan mereka, sempurnakanlah perjanjian kamu sampai tempoh mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa." (9:4)

"Bagaimanakah ada bagi orang-orang yang menyekutukan satu perjanjian dengan Allah dan rasul-Nya, kecuali orang-orang yang dengan mereka kamu membuat perjanjian di Masjidil Haram; selama mereka berlaku lurus terhadap kamu, kamu berlakuluruslah terhadap mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa." (9:7)

(Sila lihat Syurga dan Orang Bertakwa. Terima kasih.)

Keempat, orang-orang yang sabar. Firman-Nya,

"Dan berapa ramainya Nabi yang bersamanya ramai telah berperang, dan mereka yang ber-Pemelihara tidak menjadi lemah kerana apa yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lemah, dan tidak juga tunduk; dan Allah menyukai orang-orang yang sabar." (3:146)

Golongan seterusnya, iaitu kelima, terdiri daripada orang-orang yang bertawakal kepada Allah. Firman-Nya,

"Adalah dengan pengasihan Allah kamu berlaku lemah lembut kepada mereka, dan sekiranya kamu berkasar dan berkeras hati, tentu mereka menyuraikan diri dari sekeliling kamu. Maka maafkanlah mereka, dan mintalah ampun untuk mereka, dan berundinglah dengan mereka dalam urusan. Apabila kamu telah memutuskan, percayakanlah (tawakal) kepada Allah; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang mempercayakan." (3:159)

Keenam, orang-orang yang adil. Mereka disebut di dalam tiga ayat di bawah:

"Yang mendengar yang bohong, dan memakan yang haram. Jika mereka datang kepada kamu, hakimkanlah antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka; jika kamu berpaling daripada mereka, mereka tidak akan memudaratkan kamu sedikit pun; dan jika kamu menghakimkan, maka putuskanlah dengan adil antara mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang yang adil." (5:42)

"Jika dua golongan orang-orang mukmin berperang, betulkanlah antara mereka; kemudian, jika satu daripada mereka angkuh terhadap yang lain, perangilah yang angkuh, sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika ia kembali maka betulkanlah antara mereka dengan adil, dan berlakuadillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil." (49:9)

"Allah tidak melarang kamu terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam agama, dan tidak juga mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, supaya kamu berbuat baik kepada mereka, dan berlaku adil terhadap mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang yang adil." (60:8)

Ketujuh, yang akhir, ialah orang-orang yang berperang di jalan Allah dalam barisan-barisan, atau berstrategi, berdisiplin, teratur. Firman-Nya,

"Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan-barisan, seakan-akan mereka sebuah bangunan yang padu." (61:4)

Beralih kepada orang-orang yang Allah tidak suka pula. Terdapat lapan golongan disebut di dalam al-Qur'an. Pertama, orang-orang yang mencabul. Tiga ayat berkaitan berbunyi,

"Dan berperanglah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu mencabuli; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang mencabul." (2:190)

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengharamkan benda-benda yang baik yang Allah menghalalkan bagi kamu, dan jangan mencabul; sesungguhnyaAllah tidak menyukai orang-orang yang mencabul." (5:87)

"Berserulah kepada Pemelihara kamu dengan merendah diri dan dengan berahsia; Dia tidak menyukai orang-orang yang mencabuli." (7:55)

Kedua, kerosakan dan orang-orang yang membuat kerosakan. Ayat-ayatnya berbunyi,

"Dan apabila dia berpaling, dia berusaha di bumi untuk membuat kerosakan padanya, dan untuk memusnahkan tanaman, dan anak-anak pokok; dan Allah tidak menyukai kerosakan." (2:205)

"Dan apa yang diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu akan menambah kepada kebanyakan antara mereka (orang-orang Yahudi), dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan; dan Kami melemparkan di kalangan mereka, permusuhan dan kebencian, sampai Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api untuk perang, Allah memadamnya. Mereka berusaha di bumi untuk membuat kerosakan padanya; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan." (5:64)

"Tetapi carilah, dengan apa yang Allah memberikan kamu, tempat kediaman akhir, dan janganlah melupakan bahagian kamu di dunia ini; dan berbuatbaiklah, sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu. Dan janganlah mencari untuk membuat kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan." (28:77)

(Sila rujuk artikel Kerosakan di Bumi untuk keterangan lanjut. Terima kasih.)

Golongan ketiga ialah orang-orang yang tidak percaya (kafir). Bagi mereka terdapat tiga ayat bermaksud,

"Katakanlah, 'Taatlah kepada Allah, dan rasul.' Tetapi jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang tidak percaya." (3:32)

"Supaya Dia membalas orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan daripada pemberian-Nya; Dia tidak menyukai orang-orang yang tidak percaya." (30:45)

"Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang percaya; sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap pengkhianat, yang tidak berterima kasih (kafir)." (22:38)

(Sila rujuk artikel Kafir dan Al-Qur'an. Terima kasih.)

Keempat, orang-orang yang zalim. Ayat-ayat mengenai golongan ini seperti berikut:

"Bagi orang-orang yang percaya yang membuat kerja-kerja kebaikan, Dia akan membayar sepenuhnya upah mereka; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim." (3:57)

"Jika luka menyentuh kamu, maka luka yang serupa telah pun menyentuh kaum itu, dan harinya itu Kami menggilirkan antara manusia, dan supaya Allah mengetahui orang-orang yang percaya, dan Dia mengambil saksi-saksi daripada kalangan kamu; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim." (3:140)

"Dan balasan ke atas kejahatan ialah kejahatan yang serupa dengannya; tetapi sesiapa memaafkan, dan membetulkan, maka upahnya adalah atas Allah; sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim." (42:40)

(Sila rujuk artikel Siapa sebenarnya orang zalim. Terima kasih.)

Golongan kelima ialah orang-orang yang sombong, membanggakan diri. Lima ayat bersangkutan berbunyi,

"Sembahlah Allah, dan janganlah menyekutukan sesuatu dengan-Nya. Berbuatbaiklah kepada ibu bapa, dan kepada sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran yang kerabat, dan jiran yang tidak dikenali, dan teman di sebelah kamu, dan musafir, dan apa yang tangan-tangan kanan kamu memiliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong, membanggakan diri," (4:36).

"Tidak syaklah bahawa Allah mengetahui apa yang mereka merahsiakan, dan apa yang mereka menyiarkan; sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang sombong" (16:23).
Ayat seterusnya berbunyi, "Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Apakah yang Pemelihara kamu menurunkan?' Mereka berkata, "Dongeng orang-orang dahulu kala.'" (16:24)

"Sesungguhnya Karun adalah daripada kaum Musa; dia menjadi angkuh kepada mereka kerana Kami memberinya harta-harta simpanan yang kunci-kuncinya adalah beban yang sungguh berat untuk sekumpulan orang yang mempunyai kekuatan. Apabila kaumnya berkata kepadanya, 'Janganlah kamu berbangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membanggakan diri.'" (28:76)

"Janganlah memalingkan pipi kamu daripada manusia, dan janganlah berjalan di bumi dengan sangat gembira; Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri." (31:18)

"Supaya kamu tidak berdukacita kerana apa yang terlepas daripada kamu, dan tidak juga bergembira dengan apa yang diberi kepada kamu; Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong, membanggakan diri," (57:23).

Keenam, pengkhianat. Firman-firmannya berbunyi,

"Dan janganlah berdebat untuk orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri; sesungguhnya Allah tidak menyukai pengkhianat yang berdosa." (4:107)

"Dan jika kamu takut akan pengkhianatan daripada satu kaum, maka lemparkanlah kepada mereka yang sama; sesungguhnya Allah tidak menyukai pengkhianat-pengkhianat." (8:58)

"Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang percaya; sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap pengkhianat, yang tidak berterima kasih (kafir)." (22:38)

Ketujuh, kelantangan ucapan yang jahat. Firman-Nya,

"Allah tidak menyukai kelantangan ucapan yang jahat, kecuali orang yang dizalimi; Allah adalah Mendengar, Mengetahui." (4:148)

Golongan terakhir, iaitu kelapan yang tidak disukai Allah, terdiri daripada orang-orang membazir. Dua ayatnya berbunyi,

"Makanlah buah-buah mereka apabila mereka berbuah, dan berilah yang patut diberi pada hari memetiknya, dan janganlah membazir; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membazir." (6:141)

"Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid; dan makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu membazir; Dia tidak menyukai orang-orang yang membazir." (7:31)

Selain daripada dua yang telah disebut - memakan, memberi buah-buahan, dan perhiasan, makan, minum - terdapat lapan lagi amalan disifatkan Allah sebagai membazir. Mereka adalah seperti berikut:

1- pemberian nafkah yang membazir (25:67),
2- pembunuhan (5:32 dan 17:33),
3- membuat kerosakan di bumi (26:151-152),
4- amalan homoseksual (7:81),
5- melupakan kesusahan yang menimpa dan seruan yang telah dibuat kepada Allah (10:12),
6- melupakan ayat-ayat Allah (20:126-127),
7- ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah (40:34), dan,
8- berdusta, seperti terhadap ayat-ayat Allah (40:28).

Sekiranya bicara mengenai cinta, kasih sayang dan suka, yang didapati di dalam al-Qur'an, ingin disambungkan lagi maka ia tidak tamat di sini. Kerana antara seratus ayat yang dirakam di sini terdapat beberapa yang boleh dihuraikan lagi. Justeru, memadailah hingga di sini sahaja.

Apapun, ia diharap dapat meyakinkan lagi bahawa Kitab al-Qur'an itu sempurna sebagai petunjuk ke jalan lurus. Kitab atau pegangan lain tidak perlu diambil lagi.

Terbit pula persoalan mengenai ungkapan kekasih Allah atau kekasih-Nya yang dipakai oleh sesetengah golongan dalam Islam bagi segolongan manusia atau bagi Nabi. Dukacita dimaklumkan iaitu ungkapan tersebut tidak terdapat di dalam al-Qur'an, kecuali dalam ayat berikut:

"Dan berkata orang-orang Yahudi, dan orang-orang Kristian, 'Kami adalah anak-anak Allah, dan kekasih-kekasih-Nya.' Katakanlah, 'Mengapa pula Dia mengazab kamu kerana kesalahan-kesalahan kamu? Tidak, kamu adalah makhluk daripada ciptaan-Nya; Dia mengampuni siapa yang Dia mengkehendaki, dan Dia mengazab siapa yang Dia mengkehendaki.' Kerana kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya; kepada-Nya kepulangan." (5:18)

Jangan-jangan ungkapan dan kepercayaan itu diseludup masuk ke dalam Islam dari jiran yang tidak seagama!


Wednesday, December 15, 2010

BODOH di dalam al-Qur'an

Bodohdi dalam al-Qur'an

Allah telah mengemukakan amanat-Nya kepada manusia lalu ia bersetuju memikulnya. Langit, bumi, dan gunung-gunung juga telah dikemukakan yang sama tetapi mereka enggan. Dengan penerimaan itu manusia dikatakan menganiaya diri sendiri dan amat bodoh.

Namun begitu, manusia diberi pilihan. Antara mereka, lelaki dan perempuan, memilih untuk menjadi mukmin terhadap amanat tersebut, sementara yang lain, lelaki dan perempuan juga, memilih menjadi munafik dan penyekutu Allah. Mereka yang mukmin akan selamat, kerana taubat mereka diterima, tetapi dua golongan yang lain tersebut akan menerima azab daripada Allah. Firman-Nya,

"Kami mengemukakan amanat kepada langit, dan bumi, dan gunung-gunung, tetapi mereka enggan untuk memikulnya; dan manusia memikulnya. Sesungguhnya dia sangat aniaya, amat bodoh.
Supaya Allah mengazab orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan, dan orang-orang lelaki yang menyekutukan dan orang-orang perempuan yang menyekutukan; dan supaya Allah menerima taubat orang-orang mukmin lelaki, dan orang-orang mukmin perempuan. Allah adalah Pengampun, Pengasih." (33:72-73)

Manusia dianggap amat bodoh kerana melakukan kesalahan atas amanat Allah yang diterima. Beberapa kesalahan mereka disenaraikan di bawah ini:

  • berkata percaya seperti orang mukmin percaya tetapi sebenarnya tidak percaya -

    "Sesungguhnya, merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui." (2:13)

    Mereka terdiri daripada golongan orang-orang munafik yang pada hakikatnya tidak percaya kepada ayat-ayat Allah tetapi berkata percaya.

  • tidak percaya kepada Allah, walaupun malaikat, orang mati, dan harta benda dijadikan bukti -

    "Walaupun Kami menurunkan malaikat-malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang mati berkata-kata dengan mereka, sekiranya Kami mengumpulkan kepada mereka segala sesuatu berhadapan muka, bukanlah mereka yang akan mempercayai, kecuali jika Allah mengkehendaki; tetapi kebanyakan mereka bodoh." (6:111)

  • menyembah selain Allah. Maksud menyembah di dalam al-Qur'an tidak semestinya dilakukan seperti dalam solat, tetapi dengan menuruti ajaran manusia, contoh yang digelar Wali atau Imam, sambil membelakangkan ajaran Allah, juga disifatkan sebagai menyembah selain daripada-Nya -

    "Katakanlah, 'Adakah kepada selain daripada Allah yang kamu menyuruh aku sembah, wahai kamu orang-orang yang bodoh?'" (39:64)

  • mengundurkan diri daripada anutan Ibrahim -

    "Maka siapakah yang mengundurkan diri daripada anutan Ibrahim kecuali dia yang memperbodohkan dirinya sendiri? Sesungguhnya Kami telah memilihnya di dunia ini, dan di akhirat, dia termasuk orang-orang yang salih (baik)" (2:130)
    .

    Ciri utama anutan Ibrahim ialah tunduk patuh kepada Allah, tidak kepada yang lain.

  • bersedih kerana orang-orang berpaling daripada petunjuk Allah, yang tidak akan mempercayai walau apapun dilakukan untuk meyakinkan mereka -

    "Dan jika palingan mereka menyedihkan kamu, jika kamu boleh mencari lubang di bumi, atau sebuah tangga di langit, untuk mendatangkan kepada mereka satu ayat (mukjizat) - tetapi, sekiranya Allah menghendaki, tentu Dia mengumpulkan mereka pada petunjuk; maka janganlah kamu menjadi antara orang-orang yang bodoh." (6:35)

  • bercakap yang sia-sia mengenai agama -

    "Apabila mereka (orang-orang yang percaya) mendengar percakapan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya, dan berkata, 'Bagi kami amalan-amalan kami, dan kamu, amalan-amalan kamu. Salamun alaikum! Kami tidak menginginkan orang-orang yang bodoh.'" (28:55)

  • bercakap keterlaluan terhadap Allah -

    "Yang bodoh di kalangan kami mengatakan terhadap Allah yang keterlaluan," (72:4).

  • mempersoalkan kiblat yang baru ditetapkan Allah -

    "Orang-orang yang bodoh antara manusia akan berkata, 'Apakah yang memalingkan mereka daripada kiblat (haluan) yang mereka menghadap dahulu?' Katakanlah, 'Kepunyaan Allah Timur dan Barat; Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki pada jalan lurus.'" (2:142)

  • berkehendakkan tuhan seperti tuhan orang lain -

    "Dan Kami bawa Bani Israil menyeberangi laut, dan mereka datang kepada satu kaum yang bertekun pada patung-patung yang mereka ada. Berkata, 'Wahai Musa, buatkanlah untuk kami satu tuhan seperti tuhan-tuhan yang mereka ada.' Berkatalah dia, 'Sesungguhnya kamu adalah kaum yang bodoh.'" (7:138)

    Keadaan seolah serupa dengan orang yang menghendaki Imam untuk menjadi pegangannya seperti Imam pegangan orang lain.

  • berkeinginan pada perempuan (isteri orang) -

    "Berkata (Nabi Yusuf), 'Pemeliharaku, penjara lebih aku menyukai untukku daripada apa yang mereka menyeru aku kepadanya, dan jika Engkau tidak memalingkan daripadaku muslihat mereka, tentu aku akan berkeinginan benar pada mereka, dan aku menjadi antara orang-orang yang bodoh.'" (12:33)

  • amalan homoseksual -

    "Apa, adakah kamu mendatangi lelaki dengan syahwat (hawa nafsu) bukan perempuan? Tidak, kamulah kaum yang bodoh." (27:55)

  • tidak meneliti berita yang dibawa oleh orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan) -

    "Wahai orang-orang yang percaya, jika orang fasiq datang kepada kamu dengan satu berita, maka telitilah supaya kamu tidak menimpa satu kaum dalam kejahilan, dan kemudian menjadi menyesal daripada apa yang kamu buat." (49:6)

  • menyangka orang-orang yang memerlukan nafkah itu kaya kerana mereka tidak meminta-minta, tetapi mereka boleh dikenali -

    "Bagi orang-orang fakir yang terkepung di jalan Allah, dan yang tidak boleh berpergian di bumi; orang yang bodoh menyangka bahawa mereka kaya kerana mereka tidak meminta-minta, tetapi kamu mengenali mereka dengan tanda mereka; mereka tidak meminta kepada manusia dengan mendesak, dan apa-apa kebaikan yang kamu menafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (2:273)
    dan,

  • cemburu, seperti pada saudara-saudara Nabi Yusuf terhadap dirinya -

    "Berkata, 'Adakah kamu mengetahui apa yang kamu melakukan terhadap Yusuf dan saudaranya, ketika kamu orang-orang yang bodoh?'" (12:89)

Bodoh, menurut al-Qur'an, adalah juga kerana tanpa pengetahuan. Orang-orang yang bodoh kerana tanpa pengetahuan melakukan kesalahan-kesalahan, antaranya, adalah:

  • membunuh anak-anak, mengharamkan apa yang direzeki Allah, dan mengada-adakan terhadap-Nya -

    "Rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka dalam kebodohan, tanpa pengetahuan, dan mereka mengharamkan apa yang Allah merezekikan mereka, dengan mengada-adakan terhadap Allah; mereka sesat, dan tidak mendapat petunjuk yang benar." (6:140)dan,

  • bertanya lagi dengan tanpa pengetahuan setelah diperintah Allah -

    "Berkatalah Dia, 'Wahai Nuh, dia bukanlah daripada keluarga kamu; dia adalah amalan yang tidak salih, maka janganlah kamu menanyai Aku apa yang kamu tiada pengetahuan mengenainya. Aku menegurkan kamu supaya kamu jangan menjadi antara orang-orang yang bodoh.'" (11:46)

Atas kesalahan itu Nabi Nuh memohon ampun berbunyi "Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau supaya aku tidak menanyai Engkau apa yang aku tiada pengetahuan mengenainya; kerana jika Engkau tidak mengampuni aku, dan tidak mengasihani aku, tentu aku menjadi antara orang-orang yang rugi" (11:47).

Demikian antara ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan bodoh. Pun begitu, orang-orang yang tanpa atau tiada pengetahuan disebut lagi di dalam al-Qur'an, iaitu yang tiada pada ayatnya perkataan tersebut. Mereka didapati melakukan amalan-amalan yang salah seperti di bawah:

  • mengharamkan makanan yang tidak diharamkan Allah, mengikuti keinginan mereka, dan mencabul hukum Allah -

    "Mengapakah dengan kamu, bahawa kamu tidak makan daripada apa yang padanya diingatkan nama Allah, padahal Dia telah menjelaskan kepada kamu apa yang Dia mengharamkan kamu, kecuali kamu terpaksa padanya? Tetapi, sesungguhnya ramai orang menyesatkan dengan keinginan mereka tanpa sebarang pengetahuan; Pemelihara kamu, Dia sangat mengetahui orang-orang yang mencabul." (6:119)

  • melakukan kezaliman dengan mengada-adakan dusta terhadap Allah, dan menyesatkan orang lain -

    "Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah untuk dia menyesatkan manusia tanpa sebarang pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." (6:144)

  • mempersekutukan Allah, mengharamkan sesuatu yang tidak diharamkam, mendustakan-Nya, dan mengikuti sangkaan, dugaan -

    "Orang-orang yang mempersekutukan akan berkata, 'Sekiranya Allah menghendaki, tentu kami tidak menjadi orang-orang yang mempersekutukan, dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami mengharamkan sesuatu.' Begitulah orang-orang yang sebelum mereka mendustakan sehingga mereka merasakan bencana Kami. Katakanlah, 'Adakah kamu sebarang pengetahuan untuk kamu mengeluarkan kepada kami? Kamu hanya mengikuti sangkaan, semata-mata dugaan.'" (6:148)

    Sila rujuk artikel
    Al-Qur'an dan Sekutu Allah.

  • membantah mengenai Allah dengan tanpa petunjuk atau kitab yang memberi cahaya, dan mengikuti syaitan (seperti syaitan jenis manusia) -

    "Dan antara manusia ada orang yang membantah mengenai Allah tanpa pengetahuan, dan mengikuti setiap syaitan yang derhaka." (22:3)

    "Dan antara manusia, ada orang yang membantah mengenai Allah tanpa pengetahuan, atau petunjuk, atau sebuah kitab yang memberi cahaya," (22:8).

  • mendustakan ayat-ayat Allah tanpa mengetahuinya dalam pengetahuan -

    "Sehingga, apabila mereka datang, Dia berkata, "Adakah kamu mendustakan ayat-ayat-Ku tanpa mengetahuinya dalam pengetahuan kamu, atau apakah yang kamu telah buat?'" (27:84)

  • membuat kezaliman dengan mengikuti keinginan mereka, menjadi sesat -

    "Tidak, tetapi orang-orang yang membuat kezaliman mengikuti keinginan mereka, tanpa pengetahuan; maka siapakah yang akan memberi petunjuk kepada orang yang Allah menyesatkan? Mereka tidak ada penolong-penolong." (30:29)

  • mengikuti hadis yang menghiburkan, menyesatkan orang lain daripada jalan Allah, dan memperolok-olokkan jalan itu -

    "Antara manusia, ada yang membeli hadis yang menghiburkan untuk menyesatkan daripada jalan Allah tanpa pengetahuan, dan untuk mengambilnya dalam olok-olokan; mereka itu, bagi mereka, azab yang hina." (31:6) dan,

  • mencaci-maki Allah dalam membalas -

    "Janganlah mencaci-maki orang-orang yang menyeru selain daripada Allah, atau mereka akan mencaci-maki Allah dalam membalas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami menampakkan indah bagi setiap umat amalan-amalan (perbuatan) mereka, kemudian kepada Pemelihara mereka, mereka kembali, dan Dia memberitahu mereka apa yang mereka buat." (6:108)

Bersangkutan dengan sifat tanpa pengetahuan ialah tidak mengetahui. Orang-orang yang tidak mengetahui turut disebut di dalam al-Qur'an, dan antara amalan yang dilakukan oleh mereka adalah:

  • mendustakan ayat Allah sebelum interpretasinya diketahui -

    "Tidak, tetapi mereka mendustakan apa yang mereka tidak mengetahui pengetahuannya, dan yang interpretasinya belum datang kepada mereka. Begitulah orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang yang zalim." (10:39)

  • mengambil tuhan-tuhan selain daripada Allah -

    "Atau, adakah mereka mengambil tuhan-tuhan selain daripada-Nya? Katakanlah, 'Kemukakanlah buktimu! Inilah Peringatan bagi orang-orang yang bersamaku, dan Peringatan orang-orang yang sebelumku.' Tidak, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui yang benar, lalu mereka berpaling." (21:24)

    Untuk keterangan lanjut sila rujuk artikel
    Tuhan Lain. Terima kasih. Dan,

  • mengadakan syariat selain daripada syariat ajaran Allah -

    "Kemudian Kami membuat kamu di atas satu syariat daripada Perintah; maka ikutlah ia, dan janganlah mengikuti keinginan orang-orang yang tidak mengetahui." (45:18)

    Sila rujuk artikel
    Syariat Agama.

Masih lagi menyebut ayat-ayat yang tidak mengandungi kalimat bodoh untuk memperkatakan pula mengenai orang-orang yang tahu (berlawanan dengan tidak tahu atau tanpa pengetahuan) akan kejahatan yang dibuat oleh mereka. Kejahatan-kejahatan yang dimaksudkan adalah:

  • menyembunyikan yang benar, dan mencampuradukkan yang benar dengan yang palsu -

    "Orang-orang yang kepada mereka Kami memberikan al-Kitab, mereka mengenalinya seperti mereka mengenali anak-anak lelaki mereka, dan sesungguhnya segolongan daripada mereka menyembunyikan yang benar, sedang mereka mengetahuinya." (2:146)

    "Dan janganlah mencampuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan jangan menyembunyikan yang benar sedang kamu mengetahuinya." (2:42)

    "Wahai ahli Kitab, mengapa kamu mencampuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan kamu menyembunyikan yang benar sedang kamu mengetahuinya?" (3:71)

  • mengubah kata-kata Allah setelah memahaminya -

    "Adakah kamu sangat menginginkan bahawa mereka akan mempercayai kamu, memandangkan ada segolongan daripada mereka yang mendengarkan perkataan (kalam) Allah, kemudian mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahuinya." (2:75)

  • berdusta terhadap Allah dengan memutarbalikkan kandungan al-Kitab -

    "Dan antara mereka, ada segolongan yang memutarbalikkan lidah mereka dengan al-Kitab supaya kamu menyangkanya daripada sebahagian al-Kitab, sedang ia bukanlah daripada al-Kitab; dan mereka berkata, 'Ia daripada Allah', tetapi ia bukanlah daripada Allah, dan mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya." (3:78)

  • memperolok-olokkan ayat-ayat Allah setelah mengetahuinya -

    "Dan apabila dia mengetahui sesuatu daripada ayat-ayat Kami, dia mengambilnya dalam olok-olokan; mereka itu, bagi mereka, azab yang hina." (45:9) dan,

  • bersumpah bohong atas kepercayaan kepada ayat-ayat Allah -

    "Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang menjadikan, sebagai sahabat-sahabat, satu kaum yang Allah murkai? Mereka bukanlah daripada kamu, dan bukan juga daripada mereka; dan mereka bersumpah bohong, sedang mereka mengetahui." (58:14)

Kembali kepada ayat-ayat yang mempunyai perkataan bodoh. Menurut kamus Melayu pula, bodoh bererti sukar mengerti atau mempelajari sesuatu, bebal, dungu, tolol. Pengertian tersebut dapat disesuaikan dengan dua ayat berbunyi,

"Jika penghutang itu bodoh, atau lemah, atau tidak boleh mengimlakkan, maka hendaklah walinya (penjaganya) mengimlakkan dengan adil, dan panggillah untuk menyaksikan, dua orang saksi," (2:282) dan,

"Tetapi janganlah kamu memberikan orang-orang yang bodoh harta mereka yang Allah melantik kamu untuk mengurusnya; berilah rezeki untuk mereka, dan pakaian mereka daripadanya, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik." (4:5)

Ayat pertama adalah mengenai pengurusan dalam perdagangan, dan yang kedua, pengurusan harta anak yatim.

Selanjutnya daripada al-Qur'an dapat difahamkan bahawa orang-orang bodoh, yang tidak sedar diri-diri mereka bodoh, memanggil orang-orang yang percaya kepada Allah dan ayat-ayat-Nya sebagai bodoh pula! Firman Allah,

"Apabila dikatakan kepada mereka, 'Percayalah sebagaimana manusia percaya', mereka berkata, 'Adakah kami akan mempercayai sebagaimana orang-orang yang bodoh percaya?' Sesungguhnya, merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui." (2:13)

Kebodohan serupa ini dapat dikesan sedang melepak di kalangan sesetengah ahli masyarakat di sini.

Orang-orang bodoh harus dimaafkan, disuruh buat baik, dan kemudian dijauhi. Sebelum mereka ditinggalkan oleh orang-orang yang percaya, yang rendah hati, mereka diucapkan "Salam". Demikian itu adalah suruhan Allah:

"Maafkanlah, dan suruhlah apa yang baik, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." (7:199)

"Hamba-hamba Yang Pemurah ialah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan yang, apabila orang-orang yang bodoh berucap kepada mereka, mereka berkata, 'Salam'" (25:63).

Manusia membuat kejahatan. Antara kejahatan mereka, ada yang dilakukan semasa berada dalam keadaan bodoh atau jahil. Kejahatan serupa itu diampunkan dosanya asal saja mereka bertaubat dan membetulkan diri-diri mereka. Dua ayat berikut menjelaskan:

"Allah hanya menerima taubat orang-orang yang membuat kejahatan dalam kejahilan, kemudian dengan segera bertaubat; Allah akan menerima taubat mereka, dan Allah adalah Mengetahui, Bijaksana." (4:17) dan,

"Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu - bagi orang-orang yang membuat kejahatan dalam kejahilan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan membetulkan - sesungguhnya Pemelihara kamu sesudah itu, Pengampun, Pengasih." (16:119)

Contoh kejahatan tersebut terdapat dalam sebutan memberi salam. Allah telah mengajar sebutan memberi salam yang dikehendaki-Nya, dan orang-orang yang memberi salam selain daripada ajaran-Nya harus bertaubat serta membetulkan kesilapan mereka. Firman Tuhan,

"Dan apabila orang-orang yang mempercayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu, katakanlah, 'Salamun alaikum (Kesejahteraan ke atas kamu).' Pemelihara kamu menuliskan (menetapkan) untuk diri-Nya pengasihan, bahawa sesiapa antara kamu membuat kejahatan dalam kejahilan, dan sesudah itu bertaubat, dan membetulkan, maka sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih." (6:54)

Perbuatan orang-orang bodoh boleh memusnahkan diri-diri mereka sendiri dan juga orang-orang lain di sekitar mereka, seperti kemusnahan akibat gempa bumi. Mereka merupakan satu cubaan bagi yang lain. Dengan cubaan itu Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk siapa yang Dia kehendaki. Iktibar diambil daripada cerita Nabi Musa apabila terdapat antara ahli kaumnya ingin melihat Tuhan, seperti disebut di dalam ayat berbunyi,

"Dan Musa memilih daripada kaumnya tujuh puluh orang lelaki untuk waktu Kami yang ditetapkan; dan apabila gempa bumi mengambil mereka, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, sekiranya Engkau menghendaki, tentu Engkau memusnahkan mereka sebelum ini, dan aku. Adakah Engkau akan memusnahkan kami kerana apa yang orang-orang bodoh antara kami buat? Ia hanyalah cubaan Engkau, dengannya Engkau menyesatkan siapa yang Engkau mengkehendaki, dan memberi petunjuk siapa yang Engkau mengkehendaki. Engkau Wali (Pelindung) kami; maka ampunilah kami, dan kasihanilah kami, dan Engkau yang terbaik daripada yang mengampunkan.'" (7:155)

Kepada Allah bertaubat, dan dipohon supaya tidak menjadi orang bodoh. Sebuah doa yang pendek untuk menjauhkan diri daripada kebodohan telah diajar berbunyi, "Aku berlindung pada Allah daripada aku menjadi antara orang-orang yang bodoh" (2:67). Justeru, manusia berdoa sambil menjadi orang-orang mukmin (yang mempercayai) terhadap ayat-ayat-Nya, iaitu amanat yang diterima untuk dipikul suatu ketika dahulu.


Wanita dalam Islam sebenar

Wanita dalam Islam sebenar

(seperti di dalam al-Qur'an)

Kedudukan kaum wanita dalam masyarakat Islam agak menyedihkan. Mereka dipersendakan pada sesetengah majlis syarahan agama, dikenakan beberapa peraturan yang ketat, atau disifatkan lebih rendah daripada kaum lelaki. Mereka menjadi mangsa keganasan lelaki, mangsa dalam perceraian, mangsa yang digantung tidak bertali, atau mangsa yang sanggup membuang bayi yang dilahirkannya dengan banyak kepayahan. Kemelut ini berpunca dari kejahilan yang terbit dari input yang tidak sempurna dalam didikan agama. Input yang dimaksudkan ialah ajaran daripada Allah yang terkandung di dalam al-Qur’an.

Kertas ini bertujuan untuk menyampaikan mesej yang banyak daripada Allah mengenai kaum wanita; lantas ia menjadi agak panjang. Di sini mungkin terdapat ayat-ayat Allah yang tidak pernah didengarkan oleh orang-orang yang bertanggungjawab. Semoga dengan munculnya ajaran Islam yang sebenar, iaitu daripada al-Qur’an, maka lenyaplah amalan palsu mengenai kaum wanita yang sedang diamal oleh sebahagian besar masyarakat Islam.

Ciptaan

Perempuan yang pertama dicipta Allah ialah isteri Adam. Dia dicipta untuk menjadi pasangan bagi Adam, atas kehendak Allah sendiri, Yang mencipta semuanya berpasangan (43:12). Daripada Adam dan isterinya, lahirlah kaum lelaki dan perempuan yang berkembang biak, dan pada hari ini mereka berjumlah kira-kira 5.7 bilion kesemuanya. Mereka dicipta agar takut kepada-Nya. Firman-Nya, "Wahai manusia, takutilah Pemelihara (Tuhan) kamu Yang mencipta kamu daripada jiwa yang satu, dan daripadanya Dia menciptakan pasangannya (isterinya), dan daripada keduanya, ditaburkan di merata-rata banyak lelaki dan perempuan" (Ayat pertama, Surah ke 4, berjudul "Perempuan"; atau lazimnya ditulis seperti 4:1).

Pengasihan

Antara lelaki dan perempuan, Allah mengadakan pertalian persahabatan (9:71). Namun, yang paling manis sekali yang diadakan-Nya pada mereka ialah perasaan cinta dan pengasihan, seperti kata-Nya yang berbunyi "Dia mengadakan di antara kamu, cinta dan pengasihan" (30:21). Perasaan cinta dan pengasihan ini selanjutnya mengikat kedua-dua jantina ini dalam ikatan perkahwinan agar mereka dapat hidup bersama, dengan halal, dan bersatu dalam kebahagiaan.

Perkahwinan, yang disuruh Allah, adalah lawan bagi amalan zina. Ini disimpulkan setelah diperhati tiap-tiap ayat al-Qur'an yang mengandungi kata ikatan perkahwinan, di mana kata ini sentiasa dituruti kata lawannya, iaitu perzinaan. Sebagai contoh ialah ayat yang berbunyi "Maka kahwinilah mereka dengan izin keluarga mereka .... sebagai wanita-wanita dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam perzinaan" (4:25).

Zina

Amalan zina adalah bukan sahaja dilarang, malah, ia dilarang daripada mendekatinya jua. Firman-Nya, "Dan janganlah mendekati zina; sesungguhnya ia satu kesumbangan, dan jalan yang jahat" (17:32). Lupakanlah sahaja keinginan untuk melakukan zina!

Amalan sumbang dan jahat ini bukan suatu fenomena yang baharu dalam masyarakat. Pengamalannya yang meluas adalah sejak dari zaman dahulu lagi, seperti pada zaman Nabi Yahya dan Mariam (ibu Nabi Isa), iaitu kira-kira dua ribu tahun dahulu. Andaian dibuat setelah mendapati Allah menyebut dengan jelas kepada bapa Nabi Yahya (Zakaria) bahawa anaknya yang bakal dilahirkan adalah seorang yang suci daripada kejahatan nafsu berahi (3:39), sementara Mariam pula, disebut sebagai seorang perempuan yang menjaga kemaluannya (21:91 dan 66:12). Mereka berdua tentu telah menjadi contoh teladan yang terbaik pada zaman itu.

Zina bukanlah amalan orang-orang lelaki dan perempuan yang mukmin (yang mempercayai Allah dan Kitab-Nya), kerana mereka diperintah supaya menjaga kemaluan mereka. Firman-Nya, "Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka" (24:30). Pandangan yang tidak dikawal dan kemaluan yang tidak dijaga adalah punca berlakunya perzinaan.

Lelaki dan perempuan yang berzina, setelah sabit kesalahan, iaitu keterangan empat saksi, dihukum dengan seratus sebatan tiap-tiap seorang (24:2). Sekirannya bilangan seratus ini dikatakan hudud (had-had) Allah, maka pada hemat saya, bilangannya adalah had maksimum. Pelaksanaannya pula, menurut ayat itu lagi, hanya disaksikan oleh segolongan orang mukmin, bukan disaksikan oleh orang ramai seperti terdapat pada amalan sesetengah masyarakat Islam di dunia.

Penuduh ke atas perempuan yang berkahwin dan tidak mendatangkan empat saksi, dikenakan lapan puluh sebatan pula, dan kesaksiannya tidak lagi diterima selama-lamanya. Cakapnya tidak dipercayai lagi. (24:4)

Hukuman ke atas penzina adalah tidak seberat hukuman yang dikenakan ke atas pencuri. Pencuri lelaki dan pencuri perempuan dihukum dengan memotong tangan-tangan mereka (5:38). Itu pun juga, pada hemat saya, adalah had maksimumnya.

Tanpa bapa

Hukuman adalah hanya ke atas penzina, tidak pada anak-anak yang mereka lahirkan. Hukuman yang dikenakan ke atas anak-anak mereka berupa istilah, seperti anak luar nikah, atau anak haram, yang lazim digunakan. Sebaliknya pula, kata-kata ini tidak seharusnya menjadi sebutan orang-orang Islam, kerana ia tidak disebut, atau tidak diajar oleh Allah di dalam kitab-Nya, al-Qur'an. Justeru, anak-anak yang tidak berdosa itu sewajarnyalah tidak dizalimi dengan cercaan seperti ini.

Kezaliman pada anak-anak ini ditambah lagi apabila wujud undang-undang yang menyuruh mengosongkan tempat bagi nama bapa-bapa mereka (dan butiran lain mengenainya) pada sijil pengakuan kelahiran mereka, atau surat beranak. Walhal, surat beranak adalah suatu dokumen yang merekodkan kelahiran bayi, dan mereka pula, seperti bayi-bayi lain, tidak seperti Nabi Isa yang dilahir tanpa bapa!

Dengan tidak mencatat nama bapa, dan butiran lain mengenainya, pada surat beranak anaknya, kelihatan pula seperti dapat melepaskan kaum lelaki (yang sama-sama terlibat dalam kejahatan) daripada tanggungjawab mereka, dan selanjutnya memungkinkan mereka untuk berterusan dalam dosa zina dengan perempuan-perempuan lain.

Anak angkat

Bagi kanak-kanak, menurut al-Qur’an, seharusnya diketahui siapa bapa-bapa mereka, kerana sekiranya mereka dijadikan anak-anak angkat, maka mereka hendaklah dibinkan menurut nama bapa-bapa mereka yang sebenar. Firman-Nya, "Dan tidak juga Dia membuatkan anak-anak angkat kamu sebenarnya anak-anak kamu ... Panggillah mereka mengikut bapa-bapa mereka yang sebenar; itu lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui siapa bapa-bapa mereka, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam agama, dan peliharaan" (33:4-5).

Hukum

Malang menimpa lagi pada kanak-kanak yang lahir daripada perzinaan, kerana wujud pula dalam ajaran "Islam" suatu hukum yang menetapkan mereka (yang perempuan) boleh membatalkan air sembahyang bapa-bapa mereka dengan hanya menyentuh kulit mereka. Kedudukan mereka sama dengan perempuan lain yang halal berkahwin dengan bapa mereka.

Kesopanan

Perzinaan tidak berlaku sekiranya kesopanan dijagai, dan Allah ditakuti. Kesopanan bagi lelaki dan perempuan semasa mereka berinteraksi sebagai sahabat telah disebut, iaitu mereka diperintah supaya mengawal pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Akan tetapi, bagi kaum wanita (kerana kewanitaannya) ditambah lagi dan tambahannya adalah seperti yang tersurat di dalam sebuah ayat yang panjang berbunyi,

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya;

Dan hendaklah mereka meletakkan penudung (mantel) mereka pada dada mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau perempuan mereka, atau apa yang tangan kanan mereka memiliki (hamba daripada rampasan perang),

Atau lelaki yang melayan mereka yang tanpa mempunyai keinginan seks, atau kanak-kanak kecil yang belum mengerti aurat (bahagian-bahagian sulit) perempuan"(24:31).

Ayat ini menggesa kaum wanita supaya tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang-orang yang rapat seperti yang telah disebut. Kata perhiasan selalu dituju kepada barang-barang kemas. Akan tetapi perhiasan perempuan di sini bermaksud bahagian anggotanya yang di dada, yang digesa supaya ditutup dengan penudung.Penudung, atau kata Arabnya di situ, khumur, adalah bukan tudung kepala perempuan. Dalam bahasa Inggeris ia adalah veil yang juga tidak bermaksud tudung kepala perempuan. Lazimnya tudung kepala perempuan dikaitkan dengan jilbab (33:59), juga diterjemah kepada 'penudung', yang bermaksud "pakaian luar; gaun panjang yang menutupi seluruh badan, atau mantel yang menutupi leher dan payudara" [The Holy Qur'an, Abdullah Yusuf Ali (1946), halaman 1126, nota kaki 3765]. Ia bukan tudung kepala.

Maka, pakaian wanita haruslah labuh dan menutup bahagian dada mereka. Atau dada ditutup dengan sehelai kain lain yang dipanggil khumur.

(Tudung kepada yang kini dipakai oleh kaum wanita adalah 'mandil' dalam bahasa Arab. Ia bermaksud kerchief; handkerchief; head kerchief, dalam bahasa Inggeris. Tetapi ia tidak terdapat di dalam al-Qur'an.)

Tudung Kepala

Apa yang dikatakan perhiasan itu tidak termasuk bahagian-bahagian anggota di kepala seperti rambut, mata, mulut, hidung, telinga, dan pipi wanita. Andaikata bahagian-bahagian anggota wanita ini wajib ditutup, dengan tudung kepala supaya tidak dilihat oleh lelaki (seperti yang diwajibkan dalam ajaran agama ulama palsu), maka kaum lelaki pun patut menutup bahagian-bahagian tersebut kerana kaum wanita juga boleh berkeinginan pada lelaki dengan hanya melihat bahagian-bahagian tersebut. Kemungkinan ini dibayangkan Allah di dalam al-Qur'an dengan sebuah cerita mengenai Nabi Yusuf yang digoda oleh wanita-wanita, termasuk isteri pembesar, kerana dia kelihatan begitu menawan (iaitu daripada bahagian-bahagian anggotanya yang dapat dilihat).

Perhiasan wanita boleh bermaksud payudaranya. Payudara perempuan yang lanjut usia pun tidak seharusnya dinampakkan seperti perempuan lain. Firman-Nya, "Bagi perempuan-perempuan yang melewati umur mengandung, dan tiada harapan untuk berkahwin, tidak ada kesalahan ke atas mereka untuk menanggalkan pakaian mereka, tanpa menunjuk-nunjukkan perhiasan; tetapi jika mereka menahan, adalah lebih baik bagi mereka" (24:60).

Malah, dalam sebuah ayat yang terdahulu di dalam al-Quran, mengenai pakaian manusia, Allah menyatakan bahawa Dia telah menurunkan "pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib" (7:26). Tentu sekali maksud kata bahagian aib itu tidak termasuk bahagian-bahagian di kepala wanita, mahupun lelaki.

Dengan adanya beberapa petunjuk daripada al-Qur’an, maka Islam yang sebenar tidak mewajibkan wanita bertudung kepala.

Kata aurat yang turut disebut di dalam ayat yang panjang tadi (24:31) bermaksud bahagian-bahagian sulit, yang orang-orang berkeinginan seks meminati, tetapi tidak dimengertikan oleh kanak-kanak kecil. Kata ini memang sudah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu dalam Islam. (Sila rujuk Kalimat aurat di dalam al-Qur'an.)

Lesbian

Selain zina, seseorang wanita itu boleh melakukan kesumbangan akibat nafsu berahinya pada yang sejantina dengannya. Bagi kesalahan ini, pesalah dikurung, yang ada kalanya sampai mati. Firman-Nya, "Dan perempuan-perempuan kamu yang melakukan kesumbangan, panggillah empat di antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka menyaksikan, tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian mematikan mereka, atau Allah mengadakan bagi mereka satu jalan" (4:15).

Hukuman bagi lesbian adalah tidak sama dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas penzina.

Sama

Beralih kepada soal sama ada lelaki dan perempuan itu sama. Sebenarnya, mereka adalah sama di sisi Allah. Kesamaan mereka adalah pada:

1. usaha untuk mencari pemberian daripada Allah. Firman-Nya, "Bagi orang lelaki, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan, dan bagi orang perempuan, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan. Dan mintalah kepada Allah pemberian-Nya" (4:32).

2. keimanan dan ganjaran daripada Allah. Firman-Nya, "Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim, dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh, dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang merendah hati dan perempuan yang merendah hati, dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga, dan lelaki yang mengingat Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingat - bagi mereka, Allah menyediakan keampunan dan upah yang besar" (33:35).

Pendek kata, seperti kata Allah juga, "Sesiapa membuat kerja-kerja kebaikan, lelaki atau perempuan, dan dia seorang mukmin, mereka akan masuk Taman (syurga), dan tidak dizalimi satu bintit pun" (4:124). Kata mukmin bererti believer dalam bahasa Inggeris.

3. jodoh masing-masing, iaitu yang jahat bagi yang jahat dan yang baik bagi yang baik. Firman-Nya, "Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik" (24:26), dan,

4. hukum, seperti hukum zina yang berbunyi, "Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan"(24:2), dan hukum bagi pencuri, berbunyi "Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan" (5:38).

Hak

Begitulah juga dengan hak. Kaum wanita mempunyai hak yang sama dengan kaum lelaki. Hak yang sama ini diberikan Allah kepada mereka dengan firman-Nya yang berbunyi, "Bagi perempuan ada hak yang baik seperti yang ke atas lelaki" (2:228).

Perbezaan

Namun begitu, mungkin kerana perbezaan pada kromosom antara lelaki dan perempuan membuatkan ada sedikit perbezaan, dan perbezaannya adalah dalam tanggungjawab. Ayat-ayat al-Qur’an yang menjelaskannya adalah seperti di bawah:

1. "Tetapi para lelaki mereka adalah satu darjat di atas mereka” (2:228). Darjat di sini, menurut konteksnya, adalah hak suami untuk mengambil balik isteri yang diceraikan apabila mereka ingin membetulkan antara mereka.

2. "Lelaki-lelaki adalah pengurus-pengurus urusan perempuan, dengan sebab Allah melebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka menafkahkan (membelanjakan) daripada harta mereka" (4:34). Kaum lelaki dipertanggungjawabkan sebagai pengurus urusan perempuan kerana kaum lelakilah yang membelanjakan. Kaum lelaki menyara hidup kaum perempuan, dan bukan sebaliknya.

Pada sebuah ayat yang lain pula, Allah menyatakan, "Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka dengan baik" (2:233). Ayat ini bersangkut hal perceraian; sehingga dalam keadaan begini pun bapa dipertanggungjawabkan menyara anak-anaknya.

3. "Atau jika kedua-duanya bukan lelaki (saksi-saksi dalam perjanjian perdagangan yang tidak bertulis), maka seorang lelaki dan dua orang perempuan, saksi-saksi yang kamu berpuas hati, bahawa jika salah seorang daripada keduanya sesat, yang lagi seorang akan mengingatkannya" (2:282). Walaupun dua tetapi hanya seorang yang memberi kesaksian. Yang seorang lagi mengingatkannya jika dia sesat, seperti berkahwin dengan saksi lelaki, atau kerana hormon yang mudah mempengaruhi emosi. Kesaksian terdedah kepada tekanan pihak lelaki, dan dengan Allah menetapakan dua perempuan, Dia memberi perlindunagn kepada mereka daripada manipulasi kaum lelaki. Inilah satu-satunya kesaksian yang memerlukan dua perempuan (perjanjian perdagangan tanpa tulis). Dalam yang lain tidak, seperti "Dan orang-orang yang membalingkan kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar." (24:6)

4. "Allah mewasiatkan kamu mengenai anak-anak kamu; bagi lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan ..." (4:11). Ini adalah bunyi permulaan ayat yang menetapkan bahagian-bahagian yang diterima oleh kaum lelaki dan perempuan dalam pembahagian harta pesaka. Akan tetapi, ia tidak semestinya dibahagi begitu. Sila rujuk Wasiat dan Pembahagian Harta Pusaka.

Demikian beberapa ketidaksamaan antara lelaki dan perempuan yang tersurat di dalam al-Qur’an.

Dipuja

Seperti pada ciptaannya, yang disifatkan Allah sebagai satu daripada ayat-ayat-Nya, atau satu daripada kebesaran-Nya (30:21), kaum wanita memang istimewa. Mereka dipuja, dan ada pula yang dijadikan sebagai:

1. tuhan, atau dewi, atau goddess, dengan dipuja, diseru, dan dijadikan tempat untuk memohon. Firman-Nya, "Tiadalah yang mereka seru selain daripada Dia melainkan perempuan" (4:117). Mungkin ayat ini ditujukan juga kepada sesetengah manusia (lelaki terutamanya) yang mengutamakan perempuan lebih daripada keutamaan kehendak Allah ke atasnya. Lelaki seperti ini bertuhankan perempuan.

2. satu tanda kesenangan hidup di dunia. Firman-Nya, "Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itulah kesenangan kehidupan dunia" (3:14).

Begitu kuat sekali pengaruh perempuan ke atas lelaki sehingga Nabi sendiri telah dapat ditewaskan apabila baginda melalaikan hukum Allah dan mengutamakan kehendak isteri-isterinya. Kisah ini diriwayatkan Allah di dalam al-Qur'an berbunyi, "Wahai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkan bagi kamu, untuk mencari kepuasan hati isteri-isteri kamu?" (66:1). Tentulah Nabi sangat sayang pada isteri-isterinya.

Perkahwinan

Perasaan cinta dan pengasihan antara lelaki dan perempuan, yang dikurniakan Allah, berjaya memujuk kebanyakan mereka untuk hidup bersama, dan bersatu, dalam ikatan perkahwinan. Perkahwinan yang disuruh Allah telah menjadi sunnah semua Rasul (13:38), termasuk Nabi Isa.

Lalu kaum wanita menjadi isteri-isteri. Isteri dicari dengan menggunakan harta. Mereka dicari bukan untuk perzinaan, tetapi untuk diikat dalam ikatan perkahwinan. Firman-Nya, "Dihalalkan bagi kamu .... adalah bahawa kamu mencari, dengan menggunakan harta kamu, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam perzinaan ..." (4:24).

Manakala bagi lelaki yang tidak berharta tetapi ingin mengahwini perempuan mukmin yang merdeka, mereka akan mengahwini hamba yang mukmin, atau mereka bersabar. Firman-Nya, "Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemewahan untuk membolehkan mengahwini wanita-wanita merdeka yang mukmin, maka dia mengambil pemudi kamu yang mukmin yang tangan kanan kamu memiliki .... dan lebih baik bagi kamu jika kamu bersabar" (4:25).

Isteri menjadi teman hidup dan tempat berehat bagi suami. Firman-Nya, "Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah bahawa Dia menciptakan untuk kamu, daripada diri-diri kamu sendiri, teman-teman hidup (isteri), supaya kamu berehat pada mereka" (30:21).

Keselesaan, kemesraan, dan kepuasan yang dinikmati bersama antara suami dan isteri dirakamkan lagi di dalam al-Qur’an dengan sebuah ayat yang berbunyi, "Mereka (isteri) adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka" (2:187).

Selain daripada dapat menjauhkan kaum wanita dari kancah perzinaan, perkahwinan juga melepaskan mereka daripada dijadikan teman rahsia (secret lover). Kata “teman rahsia” terbit dua kali di dalam al-Qur'an, iaitu pada ayat 4:25 dan 5:5. Allah melarang menyimpan teman rahsia.

Halal

Orang-orang yang halal dikahwini telah disenaraikan Allah di dalam al-Qur’an. Senarai itu kini disusun seperti di bawah ini:

1. bujang. Firman-Nya, "Kahwinlah orang-orang yang tanpa teman hidup di kalangan kamu" (24:32),

2. janda. Firman-Nya, "Tidak ada kesalahan ke atas kamu mengenai lamaran kepada perempuan-perempuan (janda) yang kamu menawari" (2:235),

3. ahli Kitab. Firman-Nya, ".. dan menikahi wanita-wanita daripada mereka yang diberi al-Kitab sebelum kamu" (5:5),

4. hamba yang mukmin. Firman-Nya, "maka dia mengambil (sebagai isteri) pemudi kamu yang mukmin yang tangan kanan kamu memiliki" (4:25),

5. anak yatim, dan kanak-kanak yang ditindas. Firman-Nya, "... mengenai anak-anak yatim perempuan, yang kepadanya kamu tidak memberikan apa yang ditetapkan untuk mereka, tetapi kamu ingin mengahwini mereka, dan kanak-kanak yang ditindaskan" (4:127),

6. anak tiri daripada isteri yang belum dimasuki. Firman-Nya, "... dan (diharamkan berkahwin) anak-anak perempuan yang dalam penjagaan kamu daripada isteri-isteri kamu yang kamu telah memasuki - tetapi jika kamu belum memasuki mereka, maka tidaklah bersalah ke atas kamu" (4:23),

7. bekas isteri anak angkat. Firman-Nya, "tidak ada kesalahan ke atas orang-orang mukmin dalam hal isteri-isteri anak-anak angkat mereka" (33:37),

8. wanita mukmin yang lari daripada suami yang kafir. Firman-Nya, "... dan tiada kesalahan ke atas kamu untuk mengahwini mereka (yang lari daripada suami yang kafir)" (60:10), dan

9. sepupu, seperti yang disebut di dalam sebuah ayat yang khusus bagi Nabi berbunyi, "Wahai Nabi, Kami telah menghalalkan untuk kamu isteri- isteri kamu yang kamu telah memberikan upah mereka, dan apa yang tangan kanan kamu memiliki, daripada rampasan perang yang Allah memberikan kamu, dan anak-anak perempuan bapa-bapa saudara kamu sebelah bapa kamu dan emak-emak saudara sebelah bapa, bapa-bapa saudara kamu sebelah ibu dan emak-emak saudara sebelah ibu, yang berhijrah bersama kamu, dan mana-mana perempuan yang mukmin, jika dia menyerahkan dirinya kepada Nabi dan jika Nabi menghendaki untuk mengahwininya, yang untuk kamu khasnya, bukan untuk orang-orang mukmin yang lain" (33:50). Kelebihan Nabi dalam memilih isteri ialah dia dibenarkan berkahwin dengan perempuan yang menyerahkan dirinya kepada dia.

Haram

Begitu juga Allah telah menyenaraikan beberapa golongan yang haram dikahwini. Mereka terdiri daripada:

1. yang enggan. Firman-Nya, "tidak halal bagi kamu untuk mewarisi perempuan-perempuan dengan paksa" (4:19),

2. bekas isteri bapa. Firman-Nya, "Dan janganlah mengahwini perempuan-perempuan yang bapa-bapa kamu telah mengahwini" (4:22),

3. ibu bapa, anak-anak sendiri, adik-beradik, ibu atau bapa saudara dan anak-anak saudara. Firman-Nya, "Diharamkan kepada kamu adalah ibu-ibu kamu, dan anak-anak perempuan kamu, dan saudara-saudara perempuan kamu, dan ibu-ibu saudara kamu sebelah bapa dan sebelah ibu kamu, dan anak-anak perempuan saudara lelaki kamu dan saudara perempuan kamu" (4:23),

4. perempuan yang menyusukan, dan yang sesusuan. Firman-Nya, "dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu, dan saudara-saudara perempuan kamu yang sesusuan" (4:23),

5. mertua, dan anak-anak tiri yang ibunya sudah dimasuki. Firman-Nya, "dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak perempuan yang dalam penjagaan kamu daripada isteri-isteri kamu yang kamu telah memasuki" (4:23),

6. menantu. Firman-Nya, "dan isteri anak-anak kamu yang daripada pinggang kamu" (4:23),

7. dua adik-beradik. Firman-Nya. "dan kamu himpun dua perempuan adik-beradik” (4:23),

8. isteri orang. Firman-Nya, "Dan perempuan-perempuan yang bersuami, kecuali apa yang tangan-tangan kanan kamu memiliki" (4:24),

9. penzina. Firman-Nya, "Lelaki yang berzina tidak mengahwini kecuali perempuan yang berzina, atau perempuan yang menyekutukan; dan perempuan yang berzina, tiada yang mengahwininya kecuali lelaki yang berzina, atau lelaki yang menyekutukan; itu diharamkan kepada orang-orang mukmin" (24:3),

10. yang jahat bagi yang baik. Firman-Nya, "Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik" (24:26),

11. yang ditalak (dicerai) sebanyak dua kali. Firman-Nya, "Jika dia menceraikannya (buat kali kedua), dia (isteri) tidak halal baginya sesudah itu sehingga dia berkahwin suami yang lain" (2:230),

12. yang menyekutukan Allah (yang mengadakan selain daripada Allah untuk menetapkan dalam gama). Firman-Nya, "Janganlah mengahwini perempuan-perempuan yang menyekutukan sehingga mereka mempercayai; hamba perempuan yang mukmin adalah lebih baik daripada perempuan yang menyekutukan, walaupun dia menarik hati kamu. Dan janganlah mengahwini orang-orang lelaki yang menyekutukan sehingga mereka mempercayai. Hamba yang mukmin adalah lebih baik daripada orang yang menyekutukan, walaupun dia menarik hati kamu" (2:221), dan akhirnya,

13. yang tidak percaya (kafir) kepada Allah dan Kitab-Nya. Firman-Nya, "Mereka (yang mukmin) adalah tidak halal bagi orang-orang yang tidak percaya, dan tidak juga orang-orang yang tidak percaya halal bagi mereka" (60:10).

Izin

Terdahulu sekali dalam perkahwinan ialah persetujuan daripada pihak diri perempuan itu sendiri. Allah jelas apabila menetapkan ini dengan firman-Nya yang berbunyi, "tidak halal bagi kamu untuk mewarisi perempuan-perempuan dengan paksa" (4:19).

Perkahwinan juga dilangsungkan dengan izin keluarga perempuan. Ini diisyaratkan Allah apabila Dia menentukan iaitu, bagi perempuan yang berstatus hamba pun, sekiranya hendak dikahwini, adalah dengan izin keluarganya. Firman-Nya, "Maka kahwinilah mereka (yang tangan kanan kamu memiliki) dengan izin keluarga mereka" (4:25).

Akad

Izin daripada keluarga perempuan dilafaz seperti pada akad nikah. Sebagai contoh akad daripada al-Qur'an ialah lafaz bapa mertua Nabi Musa tatkala dia menyerahkan anaknya kepadanya (Musa) untuk dikahwinkan, berbunyi "Aku menghendaki untuk mengahwinkan kamu dengan seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan kamu mengambil upah daripada aku selama lapan tahun" (28:27). Turut disebut di dalam lafaznya ialah mas kahwin, yang berupa perkhidmatan Nabi Musa kepadanya dalam tempoh masa yang ditentukan. Mas kahwin yang begini rupa adalah kerana Nabi Musa pada ketika itu seorang fakir.

Hadiah

Perempuan yang dikahwini diberi hadiah, atau mas kahwin, atau upah (menurut kata al-Qur’an), atau seperti kata yang selalu disebut orang Melayu, iaitu hantaran. Hantaran adalah suatu ketentuan menurut hukum Allah (4:24), dan diberi kepada semua perempuan yang dikahwini, termasuk kaum hamba (4:25).

Mas kahwin adalah sesuatu hadiah yang rela. Firman-Nya, "Dan berilah perempuan-perempuan mas kahwin mereka sebagai satu hadiah yang rela, tetapi jika mereka, dengan suka hati, menawarkan kepada kamu sesuatu daripadanya, maka makanlah ia dengan selera yang sihat" (4:4).

Muafakat

Keharmonian hidup sepasang suami-isteri adalah dengan adanya muafakat. Mereka berpakat dengan baik, seperti dalam urusan keluarga. Allah menunjukkan suatu muafakat dalam rumah tangga antara suami dan isteri dengan ayat berbunyi, "Para ibu akan menyusukan anak-anak mereka dua tahun genap, bagi orang yang menghendaki untuk menyempurnakan penyusuan. Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka dengan baik .... Tetapi jika keduanya menghendaki, dengan persetujuan bersama dan perundingan, untuk menyusukan, maka tidaklah ada kesalahan ke atas mereka. Dan jika kamu berkehendak untuk mencari penyusu bagi anak-anak kamu, tidaklah bersalah ke atas kamu asal sahaja kamu menyerahkan apa yang kamu beri dengan baik; dan takutilah Allah, dan ketahuilah bahawa Allah melihat apa yang kamu buat"(2:233).

Suatu yang menarik mengenai ayat tersebut ialah ia berkontekskan penceraian. Sehingga dalam krisis begini pun Allah menyuruh supaya berunding dengan baik antara (bekas) suami dan isteri!

Atau, dalam keadaan marah dan benci, yang boleh mengakibatkan perceraian, juga disuruh-Nya bergaul dengan baik. Mungkin apa yang dibenci itu adalah suatu yang baik. Firman-Nya, "Bergaullah dengan mereka dengan baik; atau jika kamu membenci mereka, mungkin kamu membenci sesuatu padahal Allah membuatkan padanya banyak kebaikan" (4:19).

Bercampur

Kenikmatan hidup sepasang suami-isteri memuncak apabila mereka bercampur dengan baik. Masing-masing adalah pakaian bagi satu sama lain. Pakaian ini juga dipakai pada malam bulan Ramadan. Firman-Nya, "Dihalalkan bagi kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka" (2:187).

Digambarkan lagi kenikmatan ini dengan firman-Nya yang berbunyi, "Perempuan-perempuan kamu adalah tanaman bagi kamu; maka datangilah tanaman kamu seperti yang kamu mengkehendaki" (2:223).

Namun, percampuran ini ada hadnya. Malah, ia diharamkan pada beberapa keadaan yang tertentu. Keadaan-keadaan itu adalah:

1. apabila bertekun di masjid, seperti pada malam bulan Ramadan. Firman-Nya, "dan janganlah mencampuri mereka sedang kamu bertekun (iktikaf) di masjid"(2:187),

2. dalam Haji. Firman-Nya, "sesiapa yang menetapkan untuk Haji padanya, tidak boleh bercampur dengan isterinya" (2:197),

3. semasa dalam haid. Firman-Nya, "maka hendaklah kamu menjauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan janganlah mendekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka telah membersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah memerintahkan kamu" (2:222). Tidak terdapat larangan lain bagi perempuan yang dalam haid di dalam al-Qur'an; tidak disebut-Nya mengenai larangan mendirikan solat, berpuasa, atau menyentuh dan membaca al-Qur’an.

4. memantangkan diri selama empat bulan. Selepas tempoh ini percampuran diharamkan, dan mereka dianggap seperti bercerai. Firman-Nya, "Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka menunggu empat bulan. Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. Tetapi jika mereka memutuskan untuk bercerai, maka sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui." (2:226-227), dan akhirnya,

5. menzihar isteri (berkata kepada isteri, "Kamu, padaku, adalah seperti punggung ibuku"), dan tidak pula mengadakan tebusan apabila ditarik balik apa yang telah dikatakan. Percampuran diharamkan dalam situasi seperti ini. Firman-Nya, "Dan orang-orang yang menzihar isteri-isteri mereka, kemudian mereka menarik kembali apa yang mereka telah mengatakan, mereka akan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya menyentuh satu sama lain ... Tetapi sesiapa yang tidak mendapatkannya, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya menyentuh satu sama lain. Dan jika sesiapa yang tidak boleh, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin" (58:3-4).

Khatan

Menyentuh sedikit mengenai suatu yang berkaitan, yang agak sensitif, iaitu alat kelamin. Alat ini, baik bagi perempuan mahupun lelaki, tidak disuruh Allah agar ia dicacatkan, atau dikhatan. Justeru pendapat manusia berbeza mengenainya. Ramai tampil ke hadapan dengan hujah masing-masing. Ada golongan yang bersetuju, dan ramai pula yang menolak. Sungguh menarik perdebatan mengenainya. Para doktor turut memberi sumbangan dalam bentuk hasil kajian. Begitulah banyaknya artikel yang tersimpan di internet (lihat circumcision) mengenai khatan. Kebanyakan penyumbang didapati tidak bersetuju dengan khatan, terutamanya bagi perempuan, dan mereka menggunakan istilah mutilation (mencacatkan) bagi amalan ini. Lagipun, sekiranya hendak direnungkan ayat-ayat al-Qur’an mengenai ciptaan-Nya, maka terserlahlah dua buah ayat di mana, yang pertama, Allah telah menyatakan yang Dia “mencipta segala sesuatu dengan baik” (32:7), dan satu lagi iaitu apabila syaitan berjanji untuk menyesatkan manusia berbunyi "aku akan menyuruh mereka dan mereka akan mengubahi ciptaan Allah" (4:119).

Poligami

Poligami adalah halal. Amalan ini bertujuan untuk berlaku adil terhadap anak-anak yatim. Firman-Nya, "Jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah perempuan-perempuan yang nampak baik bagi kamu, dua, dan tiga, dan empat" (4:3). Maksud kata “perempuan-perempuan” di sini ialah ibu-ibu, atau waris, atau penjaga anak-anak yatim tersebut.

Ayat tersebut seterusnya memberi nasihat, atau amaran, berbunyi "tetapi jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil, maka satu sahaja ... ia lebih dekat bagi kamu untuk tidak membuat aniaya". Ketidakadilan dalam poligami mengakibatkan penganiayaan ke atas kaum wanita. Allah benci penganiayaan.

Namun, ketidakadilan terhadap isteri-isteri tetap berlaku dalam poligami. Firman-Nya, "Kamu tidak akan boleh berbuat adil di antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu ingin sekali" (4:129). Maka, jauhi amalan poligami!

Cara berbuat adil pada isteri-isteri pula ditunjukkan Allah di dalam ayat yang sama, berbunyi "maka janganlah kamu condong dengan seluruh kecondongan sehingga kamu meninggalkannya seperti tergantung" (4:129). “Gantung tak bertali” kerana suami condong pada madu. Itu sering berlaku. Ia dilarang Allah.

Pertelingkahan

Sedangkan lidah lagi tergigit, ini pulak suami isteri! Demikian kata dalam sebuah lagu Melayu evergreen. Pertelingkahan antara suami dan isteri dilalui dengan baik, iaitu dengan cara berunding dan bergaul dengan baik, seperti yang telah disebut di bawah tajuk Muafakat. al-Qur'an memberi dua lagi contoh pertelingkahan, dan cara-cara menyelesaikannya:

1. menuduh melakukan zina. Bagi tuduhan ini Allah menunjukkan cara penyelesaiannya yang berbunyi, "Dan orang-orang yang membalingkan kepada (menuduh) isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar. Dan yang kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya, jika dia termasuk di antara pendusta-pendusta. Ia akan menghindarkannya (isteri) daripada azab, jika dia (isteri) menyaksikan dengan Allah empat kali bahawa dia (suami) adalah di antara pendusta-pendusta. Dan yang kelima, bahawa kemurkaan Allah adalah ke atasnya (isteri) jika dia (suami) termasuk orang-orang yang benar" (24:6-9).

2. kederhakaan suami atau isteri. Bagi kederhakaan suami (yang hampir tidak disebut orang mengenai kewujudannya), Allah menjelaskan dengan ayat yang berbunyi, "Jika seorang perempuan takut akan kederhakaan, atau palingan daripada suaminya, tidaklah bersalah ke atas keduanya jika mereka membetulkan di antara mereka; dan penyelesaian adalah lebih baik; dan jiwa condong kepada kehalobaan" (4:128).

Bagi isteri yang derhaka pula, tindakan yang diambil oleh suami adalah seperti pada ayat yang berbunyi, "dan mereka yang kamu takut akan menjadi derhaka, tegurkanlah mereka, dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Jika mereka kemudiannya mentaati kamu, maka janganlah mencari-cari sebarang jalan terhadap mereka" (4:34).

Perhatian tertumpu pada kata pukul, iaitu memukul isteri yang derhaka yang disebut di dalam ayat ini. Beberapa persoalan telah timbul. Pelbagai tafsiran telah diketengahkan. Akan tetapi, terdapat satu penjelasan yang ingin diutarakan di sini mengenai kata asal wadribu (pukul) yang terakam di dalam ayat tersebut. Sebuah terjemahan, AL-QUR’AN a contemporary translation, oleh Ahmed Ali (1984), mencatat di nota kaki (halaman 78) berbunyi antara lain ialah wadribu , in the original, translated here ‘have intercourse’ … see Raghib, Lisan al-‘Arab and …. daraba metaphorically means to have intercourse, and quote the expression darab al-fahl an-naqah, ’the stud camel covered the she-camel,’ which is also quoted by Lisan al-‘Arab. It cannot be taken here to mean ‘to strike them (women).’"

Maka pukul di sini adalah seperti pada kata halus, bercampur, masuk, atau sentuh, bagi kata have intercourse. Lantas, isteri-isteri yang derhaka pun harus dicampuri, bukan disepak, atau ditendang, atau ditumbuk, atau dipukul dengan tuala, kain dan sebagainya.

Pendamai

Pertelingkahan suami-isteri didamaikan oleh wakil kedua-dua buah pihak sebelum berlaku perceraian. Firman-Nya, "Jika kamu takut akan perpecahan antara keduanya, bangkitkanlah seorang pendamai daripada keluarga lelaki, dan daripada keluarga perempuan, seorang pendamai. Jika mereka menghendaki untuk memperbetulkan, Allah akan menyelesaikan pertelingkahan mereka" (4:35). Dewasa ini, para peguamlah pendamai yang dianggap paling adil.

Sekiranya cara yang Allah tunjukkan diguna oleh pihak-pihak tertentu, maka wanita-wanita Islam yang dizalimi suami-suami mereka dapat dilepaskan daripada kezaliman itu dengan tanpa menunggu lama dalam penderitaan.

Nabi

Nabi juga telah mengalami krisis rumah tangga. Krisis itu, menurut al-Qur'an (66:3), berpunca dari salah seorang daripada isteri-isterinya yang membawa mulut, setelah Nabi memberitahunya sesuatu rahsia. Kemudian, dua daripada isteri-isterinya bergabung untuk menentangnya. Lantaran Allah turunkan amaran kepada mereka, dan sebahagian daripadanya berbunyi, "Mungkin, jika dia (Nabi) menceraikan kamu, Pemeliharanya (Tuhannya) akan menukarkan dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang muslim, yang mukmin, yang patuh, yang bertaubat, yang warak, yang berpergian, yang janda, dan yang dara" (66:5). Dalam krisis seperti ini jua diingatkan-Nya tentang perceraian. Diingatkan-Nya jua tentang adanya wanita-wanita lain yang lebih baik daripada isteri-isteri Nabi.

Penceraian

Istilah talak satu, seperti yang lazim digunakan, sebenarnya bermaksud sekali cerai, kerana kata talak dalam bahasa Arab bermakna penceraian. Maka, dua kali bercerai dengan pasangan yang sama adalah talak dua. Oleh itu, lafaz talak tiga pada penceraian yang pertama adalah hanya karut.

Apabila perceraian tidak dapat dielakkan lagi, maka Allah akan memberi pertolongan kepada kedua-dua pihak. Firman-Nya, "Tetapi jika keduanya bercerai, Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing daripada keluasan-Nya" (4:130). Allah memahami.

Allah amat memahami penderitaan yang dialami, lalu direstui-Nya perceraian. Kemudian, Dia didapati pula menolong kedua-dua belah pihak. Akan tetapi, bagaimana pula dengan banyaknya kes-kes cerai yang tidak diceraikan, atau digantung sekian lama? Tidakkah difahami penderitaan yang dilalui? Tidakkah kedua-dua belah pihak perlu ditolong? Tidak, sebaliknya ada pula orang yang melafazkan cerai didenda seribu ringgit!

Penceraian yang dibenarkan adalah sebanyak dua kali. Firman-Nya, "Penceraian (talak) adalah dua kali; kemudian menahan dengan baik, atau melepaskan dengan baik ... Jika dia menceraikannya, dia (isteri) tidak halal baginya sesudah itu sehingga dia berkahwin suami yang lain. Kemudian jika dia (suami baru) menceraikannya, maka tidaklah bersalah ke atas mereka untuk kembali kepada satu sama lain, jika mereka menyangka bahawa mereka akan melakukan had-had Allah" (2:229-230). Ini kes "cina buta".

Idah

Dalam penceraian ada tempoh, atau idah (masa menanti). Syarat-syarat dalam idah telah dihuraikan Allah dengan lima ayat yang berikut:

1. "Perempuan-perempuan yang diceraikan akan menunggu sendiri selama tiga haid, dan tidaklah halal bagi mereka untuk menyembunyikan apa yang Allah menciptakan di dalam rahim mereka jika mereka mempercayai Allah dan Hari Akhir. Pada masa itu suami-suami mereka adalah lebih berhak untuk mengembalikan mereka jika mereka menghendaki untuk memperbetulkan" (2:228),

2. "Apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, dan mereka sampai tempoh mereka, maka tahanlah mereka dengan baik, atau lepaskanlah mereka dengan baik; janganlah menahan mereka dengan paksa untuk mencabuli; sesiapa yang berbuat demikian itu menzalimi dirinya sendiri. Janganlah mengambil ayat-ayat Allah dalam olok-olokan" (2:231),

3. "Apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, lalu mereka sampai tempoh mereka, janganlah menghalangi mereka daripada mengahwini suami-suami mereka, apabila mereka telah saling mempersetujui di antara mereka, dengan baik. Dengan ini ditegurkan sesiapa di antara kamu yang mempercayai Allah, dan Hari Akhir. Itu lebih suci dan lebih bersih bagi kamu; Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui" (2:232),

4. "Tempatkanlah mereka di mana kamu bertempat tinggal, menurut kemampuan kamu, dan janganlah menekan mereka untuk menyempitkan keadaan mereka. Jika mereka mempunyai kandungan, nafkahkanlah mereka sehingga mereka melahirkan kandungan mereka. Jika mereka menyusukan untuk kamu, berilah mereka upah mereka, dan bermuafakatlah di antara kamu dengan baik. Jika kamu berdua menemui kesukaran, maka perempuan yang lain akan menyusukannya" (65:6).

Saksi

4. "Kemudian, apabila mereka telah sampai tempoh mereka, tahanlah mereka dengan baik, atau berpisahlah daripada mereka dengan baik. Dan adakanlah saksi, dua orang yang mempunyai keadilan di kalangan kamu; dan lakukanlah kesaksian kepada Allah Sendiri. Dengan ini ditegurkan sesiapa yang mempercayai Allah dan Hari Akhir. Dan sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia membuatkan untuknya satu jalan keluar" (65:2).

Nabi sendiri mungkin telah menceraikan isteri-isterinya, dan beliau juga disuruh Allah agar menjagai tempoh dan syarat-syaratnya. Firman-Nya, "Wahai Nabi, apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, maka ceraikanlah mereka apabila mereka sampai tempoh mereka. Hitunglah tempoh itu, dan takutilah Allah, Pemelihara kamu. Janganlah mengeluarkan mereka dari rumah-rumah mereka, dan jangan juga membiarkan mereka keluar, kecuali mereka melakukan kesumbangan yang nyata. Itulah hudud (had-had) Allah; sesiapa mencabuli hudud Allah, dia menzalimi dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui mungkin setelah itu Allah mengadakan perkara yang baru" (65:1).

Namun, tempoh bagi perempuan yang putus haid, dan perempuan yang mengandung, adalah berbeza daripada perempuan lain. Firman-Nya, "Bagi perempuan-perempuan kamu yang berputus asa daripada haid selanjutnya, jika kamu ragu-ragu, maka tempoh mereka ialah tiga bulan, dan mereka yang tidak datang haid hingga kini. Dan mereka yang hamil, tempoh mereka ialah apabila mereka melahirkan kandungan mereka. Sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia akan membuatkan untuknya, daripada perintah-Nya, yang mudah" (65:4).

Sementara idah bagi wanita-wanita yang kematian suami ditetapkan Allah lebih lama daripada yang dikenakan ke atas wanita-wanita yang diceraikan. Firman-Nya, "Dan orang-orang di antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, mereka akan menunggu sendiri selama empat bulan dan sepuluh hari" (2:234).

Peruntukan

Wanita-wanita yang diceraikan diberi peruntukan, dan harta yang telah diberi kepada mereka tidak diambil balik. Ayat-ayat Allah yang berikut menjelaskannya:

1. "Tidak halal bagi kamu untuk mengambil daripada apa yang kamu telah memberikan mereka (isteri) kecuali keduanya takut bahawa mereka tidak dapat melakukan had-had Allah. Jika kamu takut mereka tidak dapat melakukan had-had Allah, maka tidaklah bersalah ke atas mereka untuk dia (isteri) menebus dengannya. Itulah had-had Allah; janganlah mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim" (2:229).

Terdapat satu lagi ayat mengenai larangan mengambil balik harta yang telah diberi kepada isteri yang diceraikan, dan ayat itu berakhir dengan satu pertanyaan berbunyi, "Apa, adakah kamu mengambilnya dengan cara umpat, dan dosa yang nyata?" (4:20).

2. "Bagi wanita-wanita yang diceraikan, diberi peruntukan dengan baik sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa" (2:241).

Luar biasa

Al-Qur'an ada juga menyebut mengenai beberapa cara bercerai yang saya anggap luar biasa. Sememangnya ia, seperti kata-Nya, adalah sebuah kitab yang cukup jelas, atau terperinci, apabila ia turut menyebut tentang segala kemungkinan, seperti apa yang mungkin berlaku, bagi sesuatu perkara. Bagi penceraian, disebut-Nya empat, iaitu:

1. Memantangkan diri daripada menyentuh pasangan:

Ini mungkin berlaku dalam keadaan marah dan benci pada pasangan. Sekiranya sumpah itu berpanjangan, iaitu lebih daripada empat bulan, maka pasangan suami-isteri itu adalah seperti dalam keadaan bercerai. Firman-Nya, "Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka menunggu empat bulan. Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. Tetapi jika mereka memutuskan untuk bercerai, maka sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui" (2:226-227). Pasangan bercerai setelah berpantang empat bulan.

2. Belum sentuh:

Bagi yang mungkin bercerai tanpa menyentuh pasangannya, Allah menurunkan tiga ayat yang menggariskan syarat-syaratnya.

i. "Tidak ada kesalahan ke atas kamu jika kamu menceraikan perempuan-perempuan sedang kamu belum menyentuh mereka, dan tidak juga menetapkan sebarang bahagian untuk mereka; namun demikian, buatlah peruntukan untuk mereka - orang yang mewah menurut kemampuannya, dan orang yang miskin menurut kemampuannya - satu peruntukan dengan baik; satu kewajipan bagi orang-orang yang berbuat baik" (2:236),

ii. "Dan jika kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, dan kamu telah pun menetapkan bagi mereka bahagian yang ditentukan, maka berilah setengah daripada apa yang kamu telah menetapkan, kecuali jika mereka memaafkan, atau dia memaafkan yang di tangannya ikatan perkahwinan; bahawa kamu memaafkan adalah lebih dekat dengan takwa. Janganlah melupakan pemberian sesama kamu. Sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu buat" (2:237), dan akhirnya,

iii. "... apabila kamu mengahwini perempuan-perempuan yang mukmin, dan kemudian menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, tiadalah tempoh (idah) bagi kamu untuk mengira terhadap mereka; maka buatlah peruntukan bagi mereka, dan lepaskanlah mereka dengan pelepasan yang manis" (33:49).

3. Zihar:

Seperti yang telah dimaklumkan, di bawah tajuk Bercampur, menzihar isteri bermaksud menyifatkan isteri sebagai punggung ibunya (suami) sendiri. Pada hemat saya, bahagian anggota yang disebut itu adalah suatu petunjuk bagi bahagian-bahagian sulit ibu yang lain, yang juga tidak boleh disamakan dengan isteri, atau suami. Kata-kata ini hendaklah ditarik balik.

Sekiranya kata-kata itu ditarik balik, maka Allah mengadakan tebusan sebelum pasangan itu menyentuh satu sama lain. Tebusannya ialah memerdekakan seorang hamba, atau sesiapa yang tidak mendapatkannya, maka dia berpuasa dua bulan berturut-turut, atau memberi makan enam puluh orang miskin (58:3-4).

Pasangan ini berada dalam keadaan bercerai sekiranya kata-kata itu tidak ditarik balik, atau tebusannya tidak dilakukan.

4. Isteri lari:

Dengan cara automatik, apabila isteri lari kepada orang-orang yang tidak percaya (kafir kepada Allah dan Kitab-Nya), maka gugurlah "talak satu". Firman-Nya, "Dan jika seseorang daripada isteri-isteri kamu lari daripada kamu kepada orang-orang yang tidak percaya, dan kemudian kamu membalas, maka berilah orang-orang yang isteri-isteri mereka telah pergi, yang serupa dengan apa yang mereka telah menafkahkan. Dan takutilah Allah, yang kepada-Nya kamu mukmin (mempercayai)"(60:11). Dalam kes ini, tersebut mengenai bayaran balik kepada bekas suami atas apa yang dia telah menafkahkan (membelanjakan) kepada isterinya.

Kematian

Perpisahan yang paling menyedihkan, atau tahap stress yang tertinggi sekali, ialah apabila teman hidup meninggal dunia. Berpisahlah pasangan suami-isteri itu buat sementara waktu, menunggu Akhirat, di mana mereka akan bersatu semula selama-lamanya. Isteri yang kematian suaminya ditinggalkan peruntukan untuk setahun, dan peruntukan ini ditulis di dalam wasiat suami. Perintah Allah mengenai ini berbunyi, "Dan orang-orang di antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka membuat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya; tetapi jika mereka keluar, maka tidaklah bersalah ke atas kamu mengenai apa yang mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik" (2:240).

Baik

Sememangnyalah, orang-orang yang takut kepada Allah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi orang-orang salih, atau orang-orang yang baik. Mengenai wanita-wanita yang disifatkan baik, Allah telah menjelaskannya dengan ayat berbunyi, "Wanita-wanita yang salih (baik) ialah yang patuh, yang menjaga yang rahsia kerana Allah menjaganya" (4:34).

Allah seterusnya menyebut di dalam al-Qur'an mengenai sifat-sifat wanita yang baik, yang antaranya, adalah yang muslim, mukmin, benar, sabar, merendah hati, bersedekah, berpuasa, mengingat Allah dengan banyak, menyuruh yang baik, melarang yang mungkar, melakukan solat, memberi zakat, atau yang membuat kerja-kerja kebaikan. Wanita-wanita ini tentu menemui kebahagian.

Dituduh

Tersebut juga di dalam al-Qur’an mengenai wanita-wanita yang sudah berkahwin, lagi baik, atau yang mukmin, tetapi kerana kelalaian mereka, mereka dituduh yang bukan-bukan dan menjadi bahan tomahan orang lain. Orang-orang yang melakukan kejahatan terhadap wanita-wanita tersebut dilaknati di dunia dan di akhirat. Firman-Nya,"Sesungguhnya orang-orang yang membalingkannya (menuduh) kepada wanita-wanita yang berkahwin, yang lalai, tetapi mukmin, akan dilaknati di dunia dan di akhirat; dan bagi mereka, azab yang besar” (24:23).

Amaran daripada Allah yang seterusnya mengenai perbuatan memburuk-burukkan wanita yang baik berbunyi, “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, tanpa apa yang mereka mengusahakan, mereka memikul pengumpatan dan dosa yang nyata” (33:58). Begitulah kedudukan orang-orang yang baik di sisi Allah.

Akhirat

Kebahagian hidup bersama antara suami dan isteri di dunia ini akan disambung semula pada Hari Akhirat, di mana mereka akan bersatu sekali lagi, untuk duduk kekal dalam kebahagian. Inilah idaman yang sebenarnya bagi suami dan isteri, iaitu kebahagian bersama di dunia dan di akhirat. Allah menyebut mengenai kebahagian mereka di syurga di dalam beberapa ayat al-Qur'an, dan antaranya berbunyi, "Sesungguhnya orang-orang Jannah (syurga) pada hari ini sibuk dalam kegembiraan mereka. Mereka dan isteri-isteri mereka bersandar di atas sofa di tempat teduh. Bagi mereka di dalamnya buah-buahan, dan bagi mereka apa yang mereka minta. “Salam” ialah perkataan daripada Pemelihara (Tuhan) yang Pengasih" (36:55-58).

Sepertimana syurga itu kekal bagi orang-orang yang baik, begitulah juga dengan neraka bagi orang-orang yang jahat. Mereka yang dimasukkan ke dalam neraka tidak dikeluarkan darinya, walaupun mereka melafazkan persaksian terhadap Allah dan Rasul semasa mereka hidup di dunia untuk menunjukkan keislaman mereka. Lafaz sahaja tidak mencukupi. Syurga tidak semurah itu.

Doa

Kebahagian hanya datang daripada Allah, maka mohonlah kepada-Nya. Allah Yang Pemurah, dan Yang Pengasih, telah mengajar suami dan isteri sebuah doa untuk kebahagian mereka sekeluarga, dan untuk mereka mendahului dalam ketakwaan, berbunyi "Wahai Pemelihara kami, berilah kami kegembiraan daripada isteri-isteri (atau, suami) kami, dan keturunan kami, dan buatlah kami ketua bagi orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan)" (25:74). Mudah-mudahan dengannya, dan dengan usaha yang ikhlas lagi bersungguh-sungguh dalam mentakuti-Nya, para wanita, yang di dalam Islam sebenar, berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.