Al-Qur'an dan Neraka
Orang-orang yang menulis kitab dan kemudian mengatakan ia daripada Allah, tetapi bukan daripada Allah, mempercayai bahawa neraka adalah sebuah tempat tinggal yang sementara bagi sesiapa yang dimasukkan ke dalamnya. Orang-orang yang mengambil sebahagian daripada al-Kitab, yang enggan menghakimkan menurut apa yang diturunkan Allah, juga percaya begitu. Lalu orang-orang Islam percaya seperti yang dipercayai oleh kedua-dua golongan tersebut yang menjadi ikutan mereka.
Mempercayai akan neraka seperti itu pun disebut di dalam al-Qur'an. Namun, kata-katanya berlainan sedikit, berbunyi "Api tidak akan menyentuh kami kecuali beberapa hari yang terhitung." Akan tetapi, maksudnya serupa iaitu azab Api, atau azab neraka, adalah sementara sahaja.
Merujuk kepada al-Qur'an lagi, didapati bahawa hanya kedua-dua golongan itu sahaja yang berkata demikian. Tidak terdapat ayat-ayat yang menunjukkan kepada golongan manusia lain yang turut mempercayai akan kesementaraan azab neraka.
Apa yang mereka katakan adalah tidak benar. Golongan pertama yang mengatakannya terdiri daripada orang-orang yang menulis kitab dan mendakwa ia datang dari Allah, tetapi sebenarnya tidak datang dari Allah. Mungkin mereka adalah seperti orang-orang yang menulis, atau mengatakan, bahawa menurut al-Qur'an (atau dari Allah) hukum bagi orang-orang murtad adalah bunuh. Walhal, sebenarnya bukan bunuh. Membunuh orang murtad tidak datang dari al-Qur'an, mahupun dari Allah (sila rujuk Dusta & Hadis - link ini juga didapati di hujung halaman ini).
Golongan pertama itu disebut di dalam ayat-ayat berikut:
"orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, 'Ini daripada Allah,' supaya mereka menjualnya untuk harga yang sedikit (atau untuk kepentingan dunianya) .....
Dan mereka berkata, 'Api tidak akan menyentuh kami kecuali beberapa hari yang terhitung.'
Katakanlah, 'Sudahkah kamu mengambil satu perjanjian sehingga Allah tidak akan memungkiri perjanjian-Nya, atau kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu tahu?'
Ia, sesiapa yang mengusahakan kejahatan, dan diliputi pelanggarannya, mereka itulah orang-orang Api; di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:79-81)
Golongan kedua yang membuat kesilapan yang sama terdiri daripada orang-orang yang diberi Allah (kerana mengambil) sebahagian daripada al-Kitab untuk pegangan agamanya. Mungkin mereka boleh dikatakan sama dengan orang-orang yang mengambil hanya beberapa potong ayat daripada al-Qur'an lalu mentafsirkannya, yang berkesudahan dengan penerbitan timbunan kitab baru. Mereka juga dikatakan enggan menghakimkan menurut apa yang Allah turunkan. Ini benar, kerana mereka menghakimkan menurut ajaran kitab-kitab baru tersebut, misalan, hukum murtad tadi, atau hukum zina, yang mereka tetapkan rejam atau lontar batu sehingga mati. Hukum Allah yang mereka enggan guna dalam penghakiman mereka ke atas penzina adalah, maksimanya, seratus sebatan (sila rujuk Sebat di Depan Khalayak Ramai).
Ayat yang menyusul, yang bersabit dengan golongan tersebut, turut menyatakan bahawa apa yang mereka ada-adakan dalam agama hanya menipu mereka. Ayat berbunyi,
"Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang diberi sebahagian al-Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya ia menghakimkan antara mereka, kemudian segolongan antara mereka berpaling ..... Itu adalah kerana mereka mengatakan, 'Api tidak akan menyentuh kami kecuali beberapa hari yang terhitung.' Apa yang mereka mengada-adakan menipu mereka dalam agama mereka." (3:23-24)
Tertipu dengan apa yang diada-adakan dalam agama, atau yang tidak disebut di dalam al-Qur'an. Al-Qur'an tidak menyebut neraka sebagai tempat sementara bagi penghuni-penghuninya, malah, sebaliknya pula, ia menegaskan bahawa neraka itu adalah sebuah "Tempat Tinggal Berkekalan" (41:28).
Perkataan "neraka" tidak diguna di dalam al-Qur'an. Akan tetapi, terdapat enam perkataan yang boleh diertikan sebagai neraka. Yang paling banyak digunakan ialah nar atauapi dalam bahasa Melayu. Contoh kegunaannya adalah pada ayat-ayat yang baru diturunkan tadi.
Lima lagi perkataan yang senyawa dengan neraka adalah sa'ir (yang Menyala), laza (relau), dan Saqar, Jahanam dan Jahim. Tiga yang di belakang tidak diterjemahkan di sini. Contoh-contoh ayat yang mengandungi perkataan-perkataan tersebut adalah seperti berikut:
"Dan demikianlah Kami mewahyukan kamu sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu memberi amaran kepada Ibu Bandar-bandar raya, dan orang-orang yang di sekitarnya, dan supaya kamu memberi amaran mengenai Hari Berkumpul, yang tiada keraguan padanya - segolongan di dalam Taman (Jannah), dan segolongan di dalam yang Menyala." (42:7)
"Sesungguhnya ia sebuah relau, Meregutkan kulit kepala," (70:15-16)
"Dan tahukah kamu apa ia Saqar? .... Yang menghanguskan manusia." (74:27-29)
"Kami membuatkan Jahanam sebuah penjara bagi orang-orang yang tidak percaya." (17:8)
"Sesungguhnya Jahim adalah tempat menginap." (79:39)
Azab-azab yang disediakan itu adalah bukan kerana Allah sengaja mahu mengazab manusia setelah Dia menciptanya. Tidak, bukan begitu. Sebenarnya, Dia mencipta manusia untuk dikasihani bukan dilaknati-Nya. Tetapi manusia sombong, jahat, tidak takut akan akhirat, tidak wajar dikasihani. Lalu Dia menetapkan untuk memasukkan mereka, dan juga jin, yang bersalah, ke dalam Jahanam atau Api, atau neraka. Untuk menjelaskan dengan lebih lanjut dipaparkan di bawah ini empat ayat al-Qur'an berbunyi,
"Kecuali orang-orang yang kepada mereka Pemelihara kamu mengasihani. Untuk itulah Dia mencipta mereka, dan sempurnalah pelaksanaan kata Pemelihara kamu, 'Sungguh, Aku akan memenuhi Jahanam dengan jin dan manusia kesemuanya.'" (11:119)
"Dan apabila dikatakan kepadanya, 'Takutilah Allah', kesombongan mengambilnya dalam dosanya. Maka cukuplah untuk dia Jahanam" (2:206)
"Orang yang ke atasnya kata azab telah wajar - adakah kamu akan menyelamatkan dia keluar dari Api?" (39:19)
"Tidak sekali-kali! Tetapi mereka tidak takut akan akhirat." (74:53)
Manusia diberi beberapa amaran oleh Allah terlebih dahulu sebelum mereka membuat keputusan untuk memilih neraka sebagai tempat tinggal yang terakhir. Antaranya berbunyi,
"Dan takutilah Api yang disediakan untuk orang-orang yang tidak percaya." (3:131)
Namun begitu, terdapat pula banyak golongan manusia yang menjadi penghuni kekal di neraka. Golongan yang pertama disebut adalah mereka yang tidak percaya dan mendustakan ayat-ayat Allah (al-Qur'an). Disebut juga mereka yang menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya, dan membuat kezaliman. Ayat-ayat berikut menjelaskannya:
"Dan, orang-orang yang tidak percaya dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)Mereka juga dipanggil "orang-orang Jahim" (5:10)
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya dan membuat kezaliman, Allah tidak akan mengampuni mereka, dan tidak juga memberi mereka petunjuk pada jalan, Kecuali jalan ke Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya dan selamanya" (4:168-169)
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu menjadi orang-orang Api, di dalamnya tinggal selama-lamanya." (7:36)
Lagi disebut bersama perbuatan tidak percaya kepada ayat-ayat Allah adalah orang-orang munafik. Firman-Nya,
"Wahai Nabi, berjuanglah terhadap orang-orang yang tidak percaya, dan orang-orang munafik, dan bersikapkeraslah terhadap mereka; tempat menginap mereka ialah Jahanam - satu kepulangan yang buruk!" (9:73)
Orang-orang munafik adalah mereka yang berkata percaya tetapi sebenarnya tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Itu adalah satu kesalahan. Kesalahan-kesalahan lain yang dilakukan oleh manusia terhadap ayat-ayat Allah, yang menyebabkan mereka tinggal selama-lamanya di dalam neraka, adalah,
menyembunyikannya (2:174),
menghalanginya (4:55),
tidak menggunakan hati (otak), mata dan telinga terhadapnya - 7:179 (sila rujuk Otak dan akal perlu diguna),
sangat berpuasa hati dengan dunia lalu lalai terhadapnya (10:7-8),
berpaling daripadanya (20:124),
menyangkalnya (41:28),
mencercanya (41:40),
enggan mendengar atau memahaminya (67:10).
Banyak lagi golongan manusia dengan kesalahan lain (yang semuanya berpunca dari dasar tidak percaya kepada ayat-ayat Allah) yang akan tinggal selama-lamanya di dalam neraka. Antara mereka adalah orang-orang yang:
enggan mengikuti al-Qur'an tetapi ingin mengikuti bapa-bapa mereka (31:21),
mengikuti syaitan (manusia) yang menyuruh supaya jangan percaya kepada ayat-ayat Allah - setelah mereka tidak percaya, syaitan berlepas diri daripada mereka kerana takut kepada Allah - namun, kedua-duanya tinggal di dalam Api selama-lamanya (59:16-17),
menyekutukan Allah dan zalim - 5:72 (sila rujuk artikel Al-Qur'an dan sekutu Allah, dan Siapa sebenarnya orang zalim),
fasiq, atau yang tidak mempedulikan perintah Tuhan (32:20),
mengadakan rakan bagi Allah setelah Dia merahmatinya apabila ditimpa penderitaan dan memohon kepada-Nya (39:8),
berdusta terhadap Allah, yang juga dikatakan orang-orang yang sombong (39:60),
menyeru selain daripada Allah, yang tidak akan menyahutiya sampai Hari Kiamat (orang mati) - 46:5,
mengambil berhala, selain daripada Allah, sebagai tanda kasih sayang antara mereka - 29:25 (sila click di sini untuk pengertian "berhala")
murtad (2:217),
membazir - 40:43 (sila rujuk Kalimat membazir di dalam al-Qur'an yang baru dikemaskini dengan nota),
kikir dengan pemberian daripada Allah (3:180),
menipu (3:161),
tidak menafkahkan emas dan perak yang disimpan (9:34),
makan harta anak yatim (4:10),
makan harta sesama sendiri dengan cara palsu (4:29),
membunuh orang mukmin dengan sengaja (4:93),
menganiayai orang-orang mukmin lelaki dan perempuan (85:10),
memakan riba (2:275),
bersahabat serta mendapat kesenangan daripada golongan jin (6:128),
melawan rasul (yang sebenar) yang membawa petunjuk, dan setelah petunjuk menjadi jelas, tidak menjadi orang-orang yang mempercayainya, dan Allah memalingkan mereka kepada apa yang mereka mempercayakan (4:115),
mengingkari Allah dan rasul-Nya (yang sebenar), dan mencabuli hudud-Nya (4:14),
dilarang daripada pembicaraan rahsia, kemudian mereka mengulangi apa yang mereka telah dilarang, dan mereka berbicara rahsia dalam dosa dan permusuhan, dan tidak memberi salam hormat yang diajar Allah (58:8),
mengamalkan sihir (2:102),
lari dalam peperangan (8:16),
tidak berhijrah atau melarikan diri apabila dianiayai, lalu maut menimpa mereka (4:97).
Sebelum sampai di neraka, suatu hari yang dipanggil "Hari Kiamat" (yaum al-qiyama) adalah dilalui. Itulah hari manusia dibangkitkan setelah mati (23:16). Kemudian Allah,
Pada Hari Kiamat, sesetengah golongan dibangkitkan dalam keadaan buta kerana berpaling daripada ayat-ayat Allah, melupakannya, tidak mempercayainya, dan mereka dikatakan juga sebagai orang-orang yang membazir, atau berlebihan. Firman-Nya,
"sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku ..... dan pada Hari Kiamat, Kami membangkitkan dia buta."
Dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, mengapakah Engkau membangkitkan aku buta, padahal aku seorang yang boleh melihat?'
Berkata, 'Demikianlah; ayat-ayat Kami telah datang kepada kamu, dan kamu melupakannya .....'
Begitulah Kami membalas orang yang membazir (berlebihan), dan yang tidak mempercayai ayat-ayat Pemeliharanya," (20:124-127).
Selain daripada itu, terdapat muka-muka menjadi hitam iaitu muka orang-orang yang berdusta terhadap Allah, yang sombong (39:60). Ada pula golongan yang kepada mereka Allah tidak berkata-kata dan tidak memandang pada Hari Kiamat (3:77). Mereka adalah orang-orang yang tidak menunaikan perjanjian Allah dan sumpah-sumpah mereka kerana mengutamakan keuntungan dunia.
Apapun yang berlaku, tiap-tiap seorang akan datang kepada Tuhannya bersendirian. Berasingan. Firman Allah,
"Setiap seorang daripada mereka datang kepada-Nya pada Hari Kiamat bersendirian." (19:95)
Lalu diberi sebuah kitab,
"dan Kami mengeluarkan untuknya (manusia), pada Hari Kiamat, sebuah kitab yang dia menemuinya terbuka. 'Bacalah kitab kamu! Cukuplah dengan jiwa kamu sendiri pada hari ini sebagai penghitung terhadap kamu.'" (17:13-14)
Dan "ditimbang",
"Dan orang yang timbangannya ringan, mereka merugikan jiwa mereka sendiri; di dalam Jahanam tinggal selama-lamanya." - 23:103 (Mereka yang timbangannya berat adalah orang-orang yang beruntung - ayat sebelum itu)
Pada Hari Kiamat manusia akan datang dengan berlainan gaya, seperti,
Kemudian mereka akan bertengkar di hadapan Allah,
"Kemudian pada Hari Kiamat, di hadapan Pemelihara kamu, kamu bertengkar." (39:31)
Setelah manusia dibangkitkan mereka menjalani kehidupan di akhirat, untuk hidup sekali lagi buat selama-lamanya. Frasa yang berbunyi "tidak ada bahagian di akhirat", seperti pada doa berikut, adalah bermaksud tidak ada bahagian yang baik di akhirat tetapi hanya neraka atau Jahanam, Api dan sebagainya:
"Antara manusia ada yang berkata, 'Wahai Pemelihara kami, berilah kami di dunia', dan tiadalah baginya bahagian di akhirat." (2:200)
Sebelum berlaku Hari Kiamat dan akhirat, bumi dihancurkan sehancur-hancurnya. Kemudian tampillah Allah, malaikat-malaikat, dan juga Jahanam. Pada hari itu manusia mengingati tentang Peringatan, atau ayat-ayat Allah, dan menyesal. Firman-Nya,
"Apabila bumi dihancurkan, sehancur-hancurnya, Dan Pemelihara kamu datang, dan malaikat-malaikat, barisan atas barisan, Pada hari itu, Jahanam didatangkan; pada hari itu, manusia mengingati; dan bagaimanakah Peringatan baginya? Dia berkata, 'Alangkah baiknya sekiranya aku telah mendahulukan untuk kehidupanku!'" (89:21-24)
Kemudian semua manusia, dan syaitan, diarak di sekeliling Jahanam dengan melutut, dan seterusnya berlaku satu pemilihan yang adil. Firman-Nya,
"Demi Pemelihara kamu, sungguh Kami akan mengumpulkan mereka, dan syaitan-syaitan, kemudian Kami mengarakkan mereka di sekeliling Jahanam dengan melutut. Kemudian Kami menarik keluar daripada tiap-tiap golongan sesiapa antara mereka yang sangat keras dalam memandang rendah kepada Yang Pemurah."(19:68-69)
Golongan yang memandang rendah kepada Allah adalah seperti orang-orang zalim. Mereka kemudiannya dimasukkan ke dalam Jahanam. Hanya orang-orang yang bertakwa sahaja yang disebut sebagai yang selamat daripada Jahanam (19:72). (Sila rujuk Syurga dan orang bertakwa).
Mereka yang dipilih itu, dihalau masuk ke dalam Jahanam ("Dan menghalau orang-orang yang berdosa ke Jahanam, dalam keadaan dahaga," -19:86). Mereka masuk melalui pintu-pintunya yang tujuh,
"Baginya (Jahanam) tujuh pintu, dan ke dalam tiap-tiap pintu, satu bahagian yang telah ditentukan daripada mereka." (15:44)
Pintu-pintu tersebut mempunyai penjaga. Sebelum masuk ke dalamnya, satu sesi soal-jawab diadakan, dan dalam sesi ini terdapat pula manusia yang tidak mengaku akan kejahatan yang dilakukannya di dunia (sila rujuk Solat dan Kejahatan untuk mengetahui maksud kejahatan yang sebenar). Mereka itu menyekutukan Allah, sombong, dan bersesi dengan Allah.
Satu lagi sesi yang dicontohkan di bawah ini ialah antara penjaga-penjaga pintu-pintu Jahanam dengan orang-orang yang sombong juga, tetapi terhadap ayat-ayat Allah, dengan tidak mempercayainya ketika sampai kepada mereka:
"Kemudian pada Hari Kiamat, Dia mengaibkan mereka, dengan berkata, 'Di manakah sekutu-sekutu-Ku, orang-orang yang kerana mereka kamu melawan?' ....... Kemudian mereka melemparkan ketundukan, 'Kami tidak membuat kejahatan.' 'Tidak, tetapi sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu telah buat, Maka masuklah pintu-pintu Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya.' Buruknya tempat tinggal orang-orang yang sombong!" (16:27-29)
"Kemudian orang-orang yang tidak percaya dihalau dalam kumpulan-kumpulan ke Jahanam, sehingga apabila mereka datang kepadanya, pintu-pintunya dibuka, dan penjaga-penjaganya berkata kepada mereka, 'Tidakkah rasul-rasul datang kepada kamu daripada kalangan kamu sendiri, dengan membacakan kamu ayat-ayat Pemelihara kamu, dan memberi amaran kepada kamu terhadap pertemuan hari kamu ini?'
Mereka berkata, 'Ia, benar; tetapi kata azab telah wajar ke atas orang-orang yang tidak percaya.' Dikatakan, 'Masuklah pintu-pintu Jahanam, untuk tinggal di dalamnya selama-lamanya.' Buruknya tempat tinggal orang-orang yang menyombongkan diri!" (39:71-72)
Jahanam, seperti yang disebut dari awal lagi, adalah sebuah penjara (17:8). Di dalamnya ada Api. Musuh-musuh Allah (sila rujuk Musuh orang percaya selepas ini) dikumpul ke Api, berbaris. Penyesalan timbul di kalangan mereka, dan mereka ingin dikembalikan ke dunia untuk tidak mendustakan ayat-ayat Allah lagi dan menjadi orang-orang mukmin. Malangnya, mereka mendapati tiada tempat untuk melarikan diri dari Api:
"Pada hari apabila musuh-musuh Allah dikumpulkan ke Api, berbaris," (41:19),
"Jika kamu dapat melihat ketika mereka diberhentikan di hadapan Api, dan mereka berkata, 'Aduhai, sekiranya kami dapat dikembalikan, dan kami tidak mendustakan ayat-ayat Pemelihara kami supaya kami menjadi antara orang-orang mukmin.'" (6:27),
"Kemudian orang-orang yang berdosa melihat Api, dan menyangka bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya, dan mereka mendapati tiada tempat untuk berpaling daripadanya." (18:53).
Api yang dinyalakan itu adalah Api Allah (104:6) atau Jahim (81:12). Bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, lindungilah diri kamu dan keluarga kamu daripada Api yang bahan bakarnya manusia dan batu," (66:6)
Contoh golongan manusia dan jenis batu yang menjadi bahan bakar untuk api terdapat pada tiga ayat yang berikut, berbunyi,
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya, harta benda mereka tidak berguna bagi mereka, dan tidak juga anak-anak mereka sedikit pun terhadap Allah, dan mereka itu, mereka menjadi bahan bakar untuk Api." (3:10)
"Sesungguhnya kamu, dan apa yang kamu sembah selain daripada Allah, adalah bahan bakar untuk Jahanam" (21:98)
"Tetapi bagi mereka yang menyimpang, mereka menjadi kayu api untuk Jahanam!” (72:15)
Apabila api itu pudar ia ditambah dengan yang Menyala pula. Firman-Nya,
"tempat menginap mereka ialah Jahanam, dan setiap kali ia pudar, Kami menambahkan bagi mereka yang Menyala." (17:97)
Dalam keadaan susah manusia akan bertengkar. Justeru, mereka bertengkar di dalam Api. Ayat-ayat berikut menontonkan tiga senario tersebut:
"Berkata, 'Masuklah kamu kepada umat-umat yang telah berlalu sebelum kamu, daripada jin dan manusia, ke dalam Api.' Setiap kali sesuatu umat masuk, ia melaknatkan kawannya sehingga, apabila mereka semua telah berkumpul di dalamnya, yang terakhir daripada mereka berkata kepada yang pertama, 'Wahai Pemelihara kami, mereka inilah yang menyesatkan kami, maka berilah mereka azab dua kali ganda daripada Api.' Berkata, 'Bagi masing-masing dua kali ganda, tetapi kamu tidak mengetahui.'" (7:38)
"Mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, sesiapa yang mendahulukan ini untuk kami berilah dia azab dua kali ganda di dalam Api!'" (38:61)
"Dan orang-orang yang tidak percaya berkata, 'Wahai Pemelihara kami, perlihatkanlah kepada kami mereka yang menyesatkan kami, kedua-dua jin dan manusia, dan kami akan meletakkan mereka di bawah kaki kami supaya mereka menjadi antara orang-orang yang lebih rendah.'" (41:29)
"Sesungguhnya itu benar - pertengkaran penghuni-penghuni Api." (38:64)
Samalah keadaannya dengan orang-orang yang tidak mengikuti ayat-ayat Allah tetapi mengikuti orang-orang lain di dunia. Ada yang ingin kembali ke dunia untuk tidak menuruti orang-orang yang telah diturutinya. Firman-Nya,
"Apabila orang-orang yang diikuti berlepas diri daripada pengikut-pengikut mereka, dan mereka melihat azab, dan tali-tali mereka diputuskan. Dan orang-orang yang mengikuti berkata, 'Sekiranya bagi kami dapat kembali lagi, kami berlepas diri daripada mereka, sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami.' Begitulah Allah akan memperlihatkan kepada mereka amalan-amalan mereka; aduhai kesalnya mereka! Mereka tidak akan keluar dari Api." (2:166-167)
"Dan apabila mereka berdebat-debatan di dalam Api, dan orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, 'Sesungguhnya kami pengikut-pengikut kamu; adakah kamu berguna kepada kami terhadap mana-mana bahagian daripada Api?'" (40:47)
Mereka masuk ke dalam api Jahanam dengan cara ditolak, dan ke dalam (api) Saqar pula dengan diheret di atas muka-muka mereka. Di dalam Api mereka berkeluhan, mengerang, tidak mati, dan azab tidak diringankan. Mereka tinggal di dalam lubang api yang dalam. Lima ayat yang berikut menjelaskannya:
"Pada hari mereka ditolak kepada api Jahanam, ditolak dengan sungguh-sungguh," (52:13)
"Pada hari apabila mereka diheret di atas muka-muka mereka ke dalam Api: 'Rasalah sekarang sentuhan Saqar!'" (54:48)
"Bagi orang-orang yang sengsara, mereka berada di dalam Api, di dalamnya bagi mereka keluhan, dan erangan." (11:106)
"Bagi orang-orang yang tidak percaya, bagi mereka, api Jahanam; mereka tidak diakhirkan, dan dimatikan, dan tidak juga azabnya diringankan untuk mereka."(35:36)
"Tetapi orang yang ringan dalam Timbangan, Ibunya (tempat kediamannya), lubang yang dalam. Dan tahukah kamu apakah ia? Api yang menyala, membakar!"(101:8-11)
Api membakar muka dan punggung orang-orang jahat:
"Api membakar muka-muka mereka semasa mereka memandang dengan marah di dalamnya." (23:104)
"Dan sesiapa yang datang dengan kejahatan, muka mereka dijerumuskan ke dalam Api" (27:90)
"Sekiranya orang-orang yang tidak percaya mengetahui, waktu mereka tidak dapat menahan Api daripada muka-muka mereka, dan tidak juga daripada punggung-punggung mereka, dan tidak juga mereka ditolong!" (21:39)
Ada yang kena cap di dahi, lambungan dan punggung di samping dipanaskan di dalam api. Firman-Nya,
"Pada hari mereka (yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya) dipanaskan di dalam api Jahanam, di mana dahi mereka, dan lambungan mereka, dan punggung mereka, akan dicap, 'Inilah apa yang kamu simpan untuk diri-diri kamu; maka rasalah apa yang kamu simpan.'" (9:35)
Api itu juga adalah untuk memanggang orang-orang yang bersalah. Setiap kali kulit mereka menjadi hangus ia diganti dengan kulit lain, supaya mereka merasakan azab. Firman-Nya,
"Jahanam, di dalamnya mereka dipanggang" (14:29)
"Dan dia dipanggang di yang Menyala." (84:12)
"Yang akan dipanggang di Api Besar," (87:12)
"Dipanggang di api yang menghanguskan," (88:4)
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Kami, Kami pasti akan memanggang mereka di Api. Setiap kali kulit-kulit mereka hangus kesemuanya, Kami menukarkan dengan kulit-kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah adalah Perkasa, Bijaksana." (4:56)
Selain daripada Api, Jahanam dan yang Menyala, orang-orang yang berdosa juga dikatakan dipanggang di Saqar dan Jahim. Ayat-ayat yang menjelaskannya berbunyi,
"Sungguh, Aku akan memanggangkan dia di dalam Saqar," (74:26)
"Dan dipanggang di dalam Jahim." (56:94)
Menyentuh sedikit mengenai Jahim. Daripada ayat yang berbunyi "Apabila Jahim dinyalakan," (81:12) difahamkan bahawa Jahim adalah api. Untuk menjelaskan Jahim dengan lanjut diturunkan di bawah ini tiga ayat berbunyi,
"Sesungguhnya Jahim adalah tempat menginap." (79:39)
"Ambillah dia, dan tolaklah dia sampai di tengah-tengah Jahim," (44:47)
"Dan orang-orang jahat berada di dalam Jahim," (82:14)
Antara golongan-golongan manusia yang jahat, orang-orang munafiklah yang diletakkan di bahagian paling bawah di Api. Firman-Nya,
"Sesungguhnya orang-orang munafik berada di dalam bahagian yang paling bawah di Api" (4:145)
Mereka yang berada di neraka diberi pakaian. Baju dibuat daripada gala-gala, pakaian daripada potongan api. Dan air yang mendidih dicurahkan ke atas kepala mereka. Firman-Nya,
"Daripada gala-gala adalah baju-baju mereka, muka mereka ditutupi oleh Api." (14:50)
"Bagi orang-orang yang tidak percaya, bagi mereka, pakaian-pakaian daripada api yang dipotongkan, dan dicurahkan ke atas kepala mereka, air yang mendidih,"(22:19)
Mereka juga diberi minum. Minuman mereka adalah air yang seperti leburan tembaga merah, air yang mendidih, dan air nanah. Firman-Nya,
"jika mereka meminta pertolongan, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti leburan tembaga merah, yang melecurkan muka-muka mereka - betapa buruknya minuman" (18:29)
"Samakah mereka dengan orang yang tinggal selama-lamanya di dalam Api, yang diberi minum air yang mendidih, yang memotong usus-usus mereka?" (47:15)
"Di belakangnya Jahanam, dan dia diberi minum air nanah," (14:16)
Makanan pun diberi, iaitu daripada pokok zaqum. Firman-Nya,
"Ia (pokok zaqum) adalah pokok yang keluar di akar Jahim,
Seludang-seludangnya seperti kepala-kepala syaitan,
Dan mereka memakannya, dan dengannya memenuhkan perut-perut mereka,
Kemudian di atasnya mereka mendapat minuman campuran air yang mendidih,
Kemudian mereka kembali ke Jahim." (37:64-68)
Pokok zaqum turut disebut sebagai satu daripada sajian pada Hari Agama (yaumi-ddiin), yang merupakan satu lagi nama, selain Hari Kiamat dan akhirat, di dalam al-Qur'an:
"Kemudian kamu, wahai orang-orang yang sesat, kamu yang mendustakan,
Kamu akan memakan daripada pokok zaqum,
Memenuhkan perut-perut kamu dengannya,
Dan minum di atasnya air yang mendidih,
Dengan meminumnya seperti unta yang kehausan minum.'
Inilah yang menjadi sajian mereka pada Hari Agama (Pengadilan)." (56:51-56)"Dan tahukah kamu apakah ia Hari Agama?
Kemudian, tahukah kamu apakah ia Hari Agama?
Satu hari apabila tiada jiwa memiliki sesuatu untuk menolong jiwa yang lain; pada hari itu, Perintah adalah kepunyaan Allah." (82:17-19)(Sila click di sini untuk meninjau ayat-ayat yang mengandungi kalimat Hari Agama, yang tidak begitu banyak berbanding yang lain di sini)
Kembali kepada penghuni-penghuni neraka. Mereka dirantai (panjangnya tujuh puluh hasta 69:32) dan dibelenggu. Dan diheret ke dalam air yang mendidih, kemudian dibakar di Api. Firman-Nya,
"Sesungguhnya Kami menyediakan bagi orang-orang tidak percaya, rantai-rantai, dan belenggu-belenggu, dan yang Menyala." (76:4)
"Apabila belenggu dan rantai berada pada leher mereka, dan mereka diheret, Ke dalam air yang mendidih, kemudian di dalam Api mereka dibakar," (40:71-72)
Kerana tidak tahan dengan azab yang diterima, mereka pergi berjumpa penjaga-penjaga Jahanam untuk menyeru Allah supaya diringankan azab:
"Dan orang-orang yang di dalam Api berkata kepada penjaga-penjaga Jahanam, 'Serulah kepada Pemelihara kamu untuk meringankan bagi kami sehari daripada azab!'" (40:49)
Dan mereka cuba keluar dari Api. Tetapi mereka gagal dan terus berada dalam azab yang kekal. Firman-Nya,
"Mereka menghendaki untuk keluar dari Api, dan mereka tidak akan keluar darinya; bagi mereka, azab yang kekal." (5:37)
"setiap kali mereka menghendaki untuk keluar darinya, mereka dikembalikan ke dalamnya, dan dikatakan kepada mereka, 'Rasalah azab Api yang padanya kamu mendustakan.'" (32:20)
Disebut juga di dalam al-Qur'an kisah orang-orang Taman dan orang-orang Api yang panggil-memanggil antara satu sama lain. Beginilah kisahnya:
"Orang-orang Taman memanggil orang-orang Api, 'Kami mendapati apa yang Pemelihara kami menjanjikan kami adalah benar. Adakah kamu mendapati apa yang Pemelihara kamu menjanjikan kamu itu benar?' Mereka berkata, 'Ia.'" (7:44)
"Orang-orang Api memanggil orang-orang Taman, 'Curahkanlah kepada kami air, atau daripada apa yang Allah merezekikan kamu!' Mereka berkata, 'Allah mengharamkan mereka kepada orang-orang yang tidak percaya,'" (7:50)
Demikian itulah kesengsaraan yang dialami di neraka, buat selama-lamanya dan selamanya. Al-Qur'an itu benar, dan merangkumi dengan mengajar beberapa doa untuk dilindungkan daripada azab Jahim, azab Api atau azab Jahanam. Dimulakan di sini dengan doa para malaikat yang, antara lain, memohon ampun dan perlindungan daripada azab Jahim untuk orang-orang yang percaya, berbunyi,
"Mereka yang membawa Arasy, dan mereka di sekelilingnya melafaz sanjungan Pemelihara mereka, dan mempercayai-Nya, dan mereka meminta ampun untuk orang-orang yang percaya, 'Wahai Pemelihara kami, Engkau merangkumi segala sesuatu dalam pengasihan dan pengetahuan; maka ampunilah orang-orang yang bertaubat, dan mengikuti jalan Engkau, dan lindungilah mereka daripada azab Jahim.
"Wahai Pemelihara kami, dan masukkanlah mereka ke Taman Adn yang Engkau menjanjikan mereka dan orang-orang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka; sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana.
"Dan lindungilah mereka daripada kejahatan-kejahatan; sesiapa yang Engkau melindungi daripada kejahatan-kejahatan pada hari itu, kepadanya Engkau mengasihaninya; dan itulah kemenangan yang besar." (40:7-9)
Sesungguhnya Allah menyuruh berdoa atau memohon kepada-Nya, dan tidak berlaku sombong untuk menyembah-Nya. Kerana balasannya adalah Jahanam. Firman-Nya,
"Pemelihara kamu berkata, 'Mohonlah kepada-Ku, dan Aku akan menyahuti kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah Aku akan masuk Jahanam dalam keadaan hina.'" (40:60)
Seterusnya diturunkan di bawah ini empat mutiara doa ajaran Tuhan untuk dilindung atau dipalingkan daripada azab Api atau azab Jahanam:
"Dan antara manusia ada yang berkata, 'Wahai Pemelihara kami, berilah kami di dunia, yang baik, dan berilah kami yang baik di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab Api.'" (2:201)
"Orang-orang yang berkata, 'Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya kami percaya; ampunilah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan lindungilah kami daripadaazab Api.'" (3:16)
"Yang mengingat Allah berdiri, dan duduk, dan di atas lambungan mereka, dan yang memikirkan mengenai ciptaan langit dan bumi, 'Wahai Pemelihara kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Engkau disanjung! Lindungilah kami daripada azab Api.
"Wahai Pemelihara kami, sesiapa yang Engkau memasukkan ke Api, maka sesungguhnya Engkau mengaibkannya; dan orang-orang yang zalim tidak ada penolong-penolong.
"Wahai Pemelihara kami, kami mendengar seorang pemanggil yang memanggil kami kepada keimanan, 'Percayalah kamu kepada Pemelihara kamu.' Dan kami percaya. Wahai Pemelihara kami, ampunilah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan lepaskanlah kami daripada kejahatan-kejahatan kami, dan matikanlah kami berserta orang-orang yang taat.
"Wahai Pemelihara kami, berilah kami apa yang Engkau telah menjanjikan kami pada rasul-rasul Engkau, dan janganlah Engkau mengaibkan kami pada Hari Kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji temu.'" (3:191-194)
"Yang melalui malam dengan bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri. Yang berkata, 'Wahai Pemelihara kami, Engkau palingkanlah daripada kami azab Jahanam; sesungguhnya azabnya adalah penderitaan yang paling ngeri, Buruknya ia sebagai sebuah tempat menginap, dan sebuah tempat tinggal.'" (25:64-66)
Doa-doa yang diajar oleh Allah mengakhiri peringatan mengenai neraka di sini, iaitu neraka seperti yang terkandung di dalam al-Qur'an, yang diajar oleh Rasul Allah yang sebenar.
Orang-orang yang menulis kitab dan kemudian mengatakan ia daripada Allah, tetapi bukan daripada Allah, dan orang-orang yang mengambil hanya sebahagian daripada al-Kitab, yang turut enggan menghakimkan menurut apa yang diturunkan Allah, mungkin telah mengajar lagi sesuatu mengenai neraka dan akhirat yang tidak disebut di dalam al-Qur'an.
Misalan, rambut perempuan. Rambut mereka yang tidak memakai tudung di dunia, dikatakan, akan ditarik dengan kuat dan sakit di akhirat. Oleh kerana cerita penarikan rambut seperti itu tidak disebut di dalam al-Qur'an maka ia tidak diajar oleh Allah. Lantaran, ia tidak akan berlaku. Sama dengan ajaran mereka mengenai neraka yang tidak kekal bagi penghuni-penghuninya - turut tidak akan berlaku. Yang pasti berlaku, kerana benar, adalah apa yang diajar di dalam al-Qur'an, Kitab Allah, iaitu satu-satunya Kitab yang disampaikan oleh Rasul Allah yang sebenar. Baginda tidak menyampaikan yang lain.
No comments:
Post a Comment