Kalau sebut sahaja perkataan bertengkar, sudah pasti pelbagai persepsi negatif akan bermain di fikiran. Namun di dalam kehidupan berumahtangga, ia adalah satu perkara yang normal. Maklumlah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
Memandangkan semua pasangan pernah melaluinya, maka adalah penting untuk kita menghadapi pertengkaran dengan cara yang betul. Perkara pertama yang perlu diawasi ialah kata-kata yang keluar daripada mulut. Ini kerana ketika bertengkar, fikiran rasional telah menghilang dan biasanya kata-kata yang keluar sangat menyakitkan hati dan bertujuan untuk memuaskan hati masing-masing tanpa memikirkan perasaan pasangan.
Lebih buruk jika tiada pihak yang mahu beralah. Perselisihan faham atau pertengkaran tersebut boleh berlanjutan dan tidak mustahil ia mampu meranapkan sebuah ikatan perkahwinan.
Untuk itu, melalui buku 'The Happiness Project' yang ditulis oleh Gretchen Rubin, dia membantu anda untuk bertengkar atau berdebat tanpa mencetuskan emosi yang mendalam.
Di sini diperturunkan beberapa kalimat yang perlu anda gunakan ketika menghadapi pertengkaran.
1. "Saya cuma mahu meluahkan isi hati saya."
Kebanyakan wanita hanya mahu menceritakan masalahnya tetapi seringkali disalah erti oleh pasangan. Suami menganggap isteri meminta dirinya membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Lalu dia akan mula memberi jalan penyelesaian. Bila langkah yang disarankan itu tidak diterima, maka timbullah pertengkaran. Oleh itu, ayat, "Saya cuma mahu meluahkan isi hati saya" pastinya dapat memberi ketenangan kepada suami. Suami akan lebih memahami dan memberikan kata-kata semangat agar isteri lebih tabah menghadapi masalahnya itu.
2. "Tolong fahami pendapat saya."
Salah satu perkara yang sering dilupakan ketika berdebat atau bertengkar ialah empati. Maklumlah masing-masing cuba menegakkan hujah mereka. Anda kena faham, semakin banyak perbezaan pendapat, itu bermakna semakin sempit cara anda berfikir.
Sebaiknya anda katakan kalimat ini sebelum anda memulakan percakapan. Ia penting supaya anda berdua dapat meluahkan masalah yang dihadapi dan dalam masa yang sama tetap memahami serta prihatin terhadap perasaan masing-masing.
3. "Perkara ini penting untuk saya. Tolonglah dengar."
Apabila bertengkar dengan pasangan, sesiapa pun jua cenderung untuk tidak mendengar dengan teliti apa yang cuba disampaikan oleh pasangan. Sebaliknya anda sibuk berfikir apakah yang perlu anda katakan untuk membalas kembali apa yang diperkatakan oleh pasangan anda.
Jalan terbaik, sebelum anda meluahkan perasaan anda, katakan dulu kalimat ini agar pasangan anda lebih prihatin dan dapat memberi lebih tumpuan kepada apa yang cuba anda sampaikan.
4. "Saya juga bersalah."
Apabila wujud sesuatu masalah di dalam hubungan suami isteri, kita cenderung untuk menyalahkan pasangan di atas segala perkara yang berlaku. Pada pendapat anda, anda berada di pihak yang benar dan perlu mempertahankan pendirian anda.
Itu bukan caranya kerana di dalam setiap perhubungan, sudah pasti akan berlaku kesilapan di sana sini. Sebagai pasangan, anda perlu bersedia untuk bersama-sama memikul segala kesalahan yang berlaku.
Jika anda mampu melakukannya, sudah pasti hubungan rumahtangga anda akan terjalin dalam suasana yang harmoni dan romantis. Ini kerana anda bijak untuk mengawal pertengkaran agar tidak terus melarat.
5. "Nampaknya kita sudah keluar dari topik."
Apabila bertengkar seringkali apa yang diperkatakan akan berlanjutan kepada perkara-perkara yang tidak perlu atau bersangkutan. Lebih bahaya jika apa yang dikatakan itu seakan-akan mengungkit kerana ia mampu meremukkan hati pasangan maisng-masing.
Jalan terbaik, segerakan luahan kata-kata ini agar pertengkaran akan kembali ke perkara asal yang harus diperbincangkan. Tiada gunanya membebel untuk perkara yang tidak perlu kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi suasana.
6. "Ini masalah kecil dan kita mampu selesaikannya."
Perkara kecil mampu menjadi besar serta menggugat ikatan perkahwinan sekiranya ianya tidak dikawal dengan segera. Lebih membimbangkan jika perkara tersebut menimbulkan rasa tidak puas di antara pasangan.
Sebelum hal kecil tersebut menjadi lebih besar, apa kata anda berterus terang sahaja dengan pasangan. Ajak dirinya berbincang dan bertanya mengapa perkara tersebut harus berlaku.
Seterusnya cari penyelesaian terbaik kerana sebagai suami isteri hanya anda berdua yang lebih tahu tentang semua perkara yang berlaku di dalam rumahtangga anda.
7. "Kita sebenarnya perlukan masa untuk berfikir."
Ketika bertengkar, kita selalu terbawa-bawa dengan emosi yang panas dan akhirnya akan mengeluarkan kata-kata kesat. Jika anda merasakan anda masih tercari-cari kata-kata yang boleh menyakitkan hati pasangan anda, apa kata anda ambil keputusan untuk berdiam diri sahaja.
Rasanya itu adalah cara terbaik agar pertengkaran yang berlaku tidak berlanjutan. Beri waktu untuk anda dan pasangan berfikir. Tanya pada diri sendiri sama ada apa yang anda lakukan itu betul atau tidak. Hentikan perdebatan dan ajak pasangan anda berbincang pada masa lain iaitu ketika anda berdua tidak dikuasai oleh emosi.
8. "Saya sayangkan awak."
Perasaan marah ketika bertengkar pastinya akan luluh apabila mendengar kata-kata ikhlas daripada anda yang menyatakan rasa sayang kepada pasangan masing-masing. Ia ibarat kalimat sakti dalam pertengkaran. Anda akan menyedari bahawa pasangan anda amat bererti kepada anda dan tidak mahu ikatan yang terjalin musnah hanya kerana sedikit salah faham yang berlaku.
Anda perlu sentiasa positif dan fikirkan bahawa tiada manusia yang sempurna. Maafkan kesalahan pasangan masing-masing jika benar anda masih memerlukannya dalam hidup anda.
No comments:
Post a Comment