Dengkuran bukan saja boleh menjejaskan kualiti tidur seseorang, tetapi turut menyebabkan pasangan tidak boleh melelapkan mata akibat didendangkan bunyi yang menyakitkan telinga.
Walaupun ramai menganggapnya perkara biasa, ia sebenarnya memalukan, terutama jika ada di khalayak ramai seperti berdengkur dalam kapal terbang!
Bagaimanapun, ia dikira masih ‘ok’ berbanding jika anda terlelap ketika memandu. Peristiwa ini dialami seorang rakan yang apabila tersedar daripada lelapnya, dia mendapati dirinya terbaring di atas katil hospital dengan tangan berbalut selepas terbabit dalam kemalangan.
Mengantuk antara kesan dialami apabila seseorang tidur berdengkur kerana dengkuran boleh membuatkan kita kerap terjaga. Individu yang berdengkur juga mengalami masalah mengantuk pada waktu siang, kurang aktif dan tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja.
Oleh kerana ia dianggap memalukan, tidak ramai mengaku mereka tidur berdengkur. Sebenarnya, semua orang berdengkur pada satu-satu masa dalam hidupnya. Malah, kanak-kanak berusia dua tahun ke atas yang tidur berdengkur juga dianggap normal.
Di Malaysia, dianggarkan lebih lima juta rakyat negara kita berdengkur. Kajian mendapati dalam populasi sesebuah negara, secara purata 45 peratus lelaki dan 30 peratus wanita berdengkur pada kadar biasa.
Kajian Synovate Omnibus pada Jun 2008 ke atas 1,006 penduduk Semenanjung Malaysia mendapati, empat daripada 10 orang berdengkur, 36 peratus mengakui dengkuran mereka mengganggu tidur pasangan dan 53 peratus lagi mendakwa tidur terganggu akibat dengkuran pasangan.
Ketua Pemasaran GlaxoSmithKline Consumer Healthcare (GSK), Vong Yuit Meng, yang membentangkan hasil kajian berkata, walaupun lebih 50 peratus mengalami mengalami gangguan tidur akibat dengkur, sembilan daripada 10 tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah itu.
Soal selidik berkenaan menunjukkan kebanyakan orang yang berdengkur adalah lelaki (57 peratus berbanding 43 peratus wanita), berkahwin (62 peratus berbanding 38 peratus) dan berbangsa Melayu iaitu 63 peratus berbanding Cina (26 peratus) dan India (11 peratus).
Menurut Perunding Bedah Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Lam Wah Ee, Pulau Pinang, Dr Gopalan Nair, dengkuran adalah bunyi yang terhasil apabila saluran pernafasan tersekat ketika tidur. Jika seseorang berdengkur, ia menandakan saluran pernafasannya terhalang seketika.
“Ketika tidur, otot pada lelangit lembut (bahagian tisu lembut pada hujung lelangit yang kelihatan tergantung dan berhampiran dengan tekak, dipanggil uvula), lidah dan kerongkong akan berehat.
“Jika tisu dalam kerongkong dalam keadaan terlalu rehat, ia bergetar. Getaran ini menghalang serta menyempitkan laluan udara. Apabila keadaan ini berlaku, tekanan dalam kerongkong menjadi tinggi.
“Semakin tinggi tekanan, semakin kuat getaran tisu dalam kerongkong dan keadaan ini menyebabkan bunyi dengkur. Dengkuran menjadi lebih kuat jika tekanan dalam saluran pernafasan semakin tinggi.
“Untuk mengatasi perkara ini, mulut secara automatik terbuka bagi membolehkan lebih banyak udara masuk,” katanya pada pelancaran pelekap hidung Breathe Right Nasal Strips (BRNS) anjuran GSK.
Ini adalah pelekap hidung tanpa ubat pertama di Malaysia untuk membantu mengurangkan masalah dengkuran. Ia dibuat daripada spring plastik yang perlu dilekatkan di bahagian paling lebar di atas tulang hidung.
Bagaimanapun, punca dengkuran kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Dengkuran kanak-kanak biasanya disebabkan masalah tonsil atau adenoid (pengumpulan tisu limfatik pada bahagian belakang hidung). Rawatan untuk kanak-kanak berdengkur juga lebih mudah iaitu dengan membuang tonsil yang bengkak atau besar.
“Pada kanak-kanak dengkuran dianggap perkara normal, tetapi jika berlanjutan sehingga dewasa ia menjadi gangguan bukan saja pada individu berkenaan, tetapi kepada pasangan atau orang lain yang tidur berhampiran,” katanya.
Dr Gopalan berkata, beberapa perkara lain boleh membuatkan seseorang itu berdengkur iaitu:
# Bentuk mulut iaitu sama ada lelangit lembut terlalu rendah, uvula panjang, lidah terlalu besar atau tonsil bersaiz besar — semuanya boleh menghalang saluran udara.
# Kegemukan juga menyebabkan saiz empat bahagian berkenaan bertambah dan mengakibatkan dengkuran bertambah teruk.
# Terlalu letih.
# Minum banyak minuman keras sebelum tidur.
# Masalah saluran pernafasan.
# Mengalami masalah apnea. Seseorang itu dikatakan mengalami apnea apabila pernafasannya terhenti seketika dan berdengkur kuat. Dengkuran berhenti seketika, biasanya lebih kurang 10 saat. Apabila badan mengalami masalah kekurangan oksigen dan berlebihan karbon dioksida, individu berkenaan terjaga diikuti dengan dengkuran kuat. Dengkuran akibat apnea mempunyai rentak tertentu.
Berdengkur bukan penyakit, tetapi ia dikategorikan sebagai masalah perubatan, terutama bagi individu yang alami apnea tidur. Ia boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit lain. Ini kerana jika dengkur akibat apnea, pernafasan seseorang itu terhenti seketika sama ada 10 saat atau lebih.
Apabila nafas terhenti, badan mengalami masalah kekurangan oksigen. Kekurangan oksigen memberi tekanan kepada jantung untuk berfungsi dengan cekap. Lebih kerap nafas terhenti, tekanan darah menjadi lebih tinggi yang boleh mengakibatkan serangan jantung dan strok.
Tidur yang tidak nyenyak juga ada kesan sampingan seperti tidak cukup tidur, keletihan, sakit kepala pada waktu pagi, hilang tumpuan dan tertekan. Lebih membimbangkan jika seseorang itu terlelap ketika memandu yang boleh menyebabkan kemalangan.
Rawatan
Banyak kaedah digunakan untuk merawat dengkur seperti:
# Perubahan gaya hidup; khususnya bagi individu yang terlalu gemuk perlu mengurangkan berat badan.
# Elak minum minuman keras serta merokok sebelum tidur.
# Mengubah posisi ketika tidur dikatakan dapat membantu mengurangkan masalah dengkur. Masalah ini lebih jelas jika tidur terlentang berbanding tidur mengiring.
# Semburan hidung.
# Pembedahan konvensional yang dipanggil uvulopalatopharyngoplasty (UPPP) untuk membuang sedikit tisu uvula untuk meluaskan saluran pernafasan.
# Pembedahan laser (LAUP) bagi membuang tisu uvula untuk mengurangkan getaran tisu dalam kerongkong ketika tidur.
Bagaimanapun, kini ada cara lebih mudah untuk mengurangkan masalah berdengkur iaitu dengan penggunaan pelekap hidung. Kajian menunjukkan pelekap ini boleh digunakan untuk hampir 75 peratus saiz hidung penduduk dunia, khususnya bagi golongan dewasa dan kanak-kanak berumur lima tahun ke atas. Ia tidak digalakkan untuk kanak-kanak di bawah lima tahun kerana hidung mereka terlalu kecil untuk dilekapkan pelekap berkenaan.
Pelekap hidung ini memberi tindak balas refleks apabila dilekatkan pada hidung. Serta-merta ia ‘menarik’ dan mengembangkan kedua-dua rongga hidung yang menambah kemasukan udara sebanyak 31 peratus.
Apabila seseorang bernafas melalui hidung, secara automatik mulut tertutup dan ini mengurangkan tahap bunyi dan kekerapan berdengkur. Bagaimanapun, kesan ini tidak berlaku serta-merta dan ia perlu digunakan sekurang-kurangnya seminggu bagi membolehkan badan menyesuaikan diri dengan pertambahan kemasukan udara melalui hidung.
Kira-kira 65 peratus pengguna mendakwa dapat tidur lebih lena dan kurang terjaga malam, manakala 90 peratus berkata mereka tidak lagi mengalami masalah mengantuk pada waktu siang dan boleh memberi tumpuan dengan lebih baik.
Pelekap hidung ini membantu pernafasan dan mengurangkan tahap bunyi dengkur kepada 75 peratus individu berdengkur. Ia dianggap penting kerana individu yang berdengkur dan pasangan boleh tidur lebih lena dan mendapat rehat secukupnya.
Lebih menarik, pelekap hidung ini juga boleh digunakan individu yang berdepan masalah hidung tersumbat seperti ketika selesema atau mengalami alahan rinitis. Ia juga terbukti secara klinikal dapat memberi kelegaan segera kepada masalah ini dengan mengembangkan rongga hidung.
Ia sesuai digunakan semua peringkat umur, termasuk wanita hamil, menyusukan anak dan individu yang mengambil ubat akibat masalah kesihatan lain kerana ia tidak mengandungi ubat. Jadi isu bimbang berlaku tindak balas silang antara ubat tidak timbul.
Bagaimanapun, pelekap ini tidak disarankan untuk individu yang mengalami apnea tidur kerana ia dikategorikan sebagai masalah lebih serius dan perlu mendapat rawatan sewajarnya secepat mungkin. Dengkuran akibat apnea tidur tidak dapat diatasi dengan penggunaan pelekap hidung.
Rawatan untuk apnea tidur bersifat individu kerana keadaan setiap orang berbeza mengikut tahap keterukan masalah mereka. Cara mudah untuk mengatasi masalah dengkur akibat apnea ialah:
# Mengurangkan berat badan (orang gemuk berdengkur lebih kuat dan kerap).
# Elak minum minuman beralkohol pada waktu malam.
# Jangan ambil pil tidur walaupun anda ada masalah sukar melelapkan mata. Pil tidur membuatkan otot anak tekak menjadi lebih rehat dan akibatnya dengkuran bertambah kuat.
Fakta dengkuran:
# 54 peratus orang mendakwa percutian mereka terganggu akibat dengkuran
# 41 peratus berkata akan menempah bilik berasingan supaya tidak sebilik dengan individu berdengkur
# 43 peratus terpaksa gunakan penyumbat telinga ketika bercuti
# 23 peratus orang terpaksa tidur di balkoni (anjung) akibat berdengkur
# 20 peratus orang tidur di dalam bilik mandi
# 8 peratus balik awal dari percutian disebabkan berdengkur
# Berbanding dengan orang lain, individu berdengkur kuat mempunyai risiko 34 peratus mengalami serangan jantung dan 67 peratus mendapat strok.
Penyebab dengkur
> Bentuk mulut iaitu sama ada lelangit lembut terlalu rendah, uvula panjang, lidah terlalu besar atau tonsil bersaiz besar — semuanya boleh menghalang saluran udara.
> Kegemukan juga menyebabkan saiz empat bahagian berkenaan bertambah dan mengakibatkan dengkuran bertambah teruk.
> Terlalu letih.
> Minum banyak minuman keras sebelum tidur.
> Masalah saluran pernafasan.
> Mengalami masalah apnea.
Cara mengatasi dengkur
> Mengurangkan berat badan (orang gemuk berdengkur lebih kuat dan kerap).
> Elak minum minuman beralkohol pada waktu malam.
> Jangan ambil pil tidur walaupun anda ada masalah sukar melelapkan mata. Pil tidur membuatkan otot anak tekak menjadi lebih rehat dan akibatnya dengkuran bertambah kuat.
No comments:
Post a Comment